Ahad, 22 Januari 2023 | 12:40pm

MCA kemuka memorandum keperluan masyarakat Cina kepada kerajaan

KUALA LUMPUR: MCA akan mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara lain berkaitan ekonomi, industri kecil dan sederhana (PKS) dan pendidikan masyarakat Cina untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2023.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pihaknya mengadakan dialog dengan badan bukan kerajaan (NGO) Cina di negara ini pada September tahun lalu, bagi mendengar pandangan dan aspirasi mereka yang memerlukan perhatian kerajaan.

"Saya lihat ada beberapa cabaran besar iaitu dari segi ekonomi global, yang mana perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China adalah satu faktor yang akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi, selain kadar inflasi dan menarik pelabur.

"Kita akan kemas kini memorandum ini kerana ada pengumuman baharu dibuat dan akan dihantar selepas Tahun Baharu Cina," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini, hari ini.

Majlis dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2023 di Parlimen pada 24 Februari ini.

Pada 20 Disember tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan Bajet Mini 2023 bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan, membabitkan wang bernilai RM107 bilion.

Bajet itu dibentangkan Anwar di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 bagi membenarkan perbelanjaan dikeluarkan bagi emolumen penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir bersama-sama menggaul yee sang pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di Wisma MCA hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir bersama-sama menggaul yee sang pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di Wisma MCA hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X