Sabtu, 21 Januari 2023 | 11:40am

Penerokaan REE: Kedah tandatangani MoU dengan syarikat usia 4 bulan?

ALOR SETAR: UMNO Kedah mempersoalkan status syarikat yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan negeri bagi tujuan penerokaan unsur nadir bumi (REE) yang didakwa baru empat bulan ditubuhkan.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, ia hasil semakan latar belakang syarikat terbabit, Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd (Jangka Bakat MInerals) yang mendedahkan fakta bahawa ia hanya ditubuhkan pada 1 September 2022.

"Fakta mengejutkan ini menimbulkan keresahan dan kegusaran ramai tentang bagaimana kaedah tata urus dan kelola kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor, berhubung isu yang hangat diperkatakan ini.

"Perlu diingat, rakyat Kedah sebelum ini dikejutkan dengan pendirian Muhammad Sanusi untuk meneruskan MoU penerokaan REE walaupun kementerian berkaitan belum menggariskan penetapan prosedur operasi standard (SOP) rasmi bagi aktiviti perlombongan sumber mineral itu," katanya melalui kenyataan di Facebook.

Pada 11 Januari lalu, Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) memeterai MoU bersama Jangka Bakat Minerals dan Xiamen Tungsten Co Ltd dalam usaha penerokaan maklumat dan kepakaran bagi industri perlombongan di negeri ini.

Majlis menandatangani MoU disaksikan Menteri Besar Kedah dengan MBI Kedah diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Sobri Osman, manakala Jangka Bakat Minerals diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Liana Khalid dan Xiamen Tungsten diwakili Pengurus Besarnya, Liu Wenli.

Malah MUhammad Sanusi ketika ditemui selepas majlis itu turut mengakui ketiadaan SOP berkaitan perlombongan REE dikeluarkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sehingga kini mungkin menjadi punca berlakunya aktiviti pengeluaran mineral itu secara haram di Kedah.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy mengakui Kedah bukan satu-satunya negeri yang kaya dengan sumber REE, namun kenapa hanya negeri berkenaan yang paling tergesa-gesa mahu memulakan eksplorasi bahan itu walaupun SOP berkaitan belum selesai dimuktamadkan.

"Saya ingin menggesa kerajaan negeri supaya janganlah tamak dan patuhilah garis panduan kementerian di peringkat Pusat seperti kerajaan lain yang turut juga mempunyai sumber REE di negeri mereka," katanya.

Pada 31 Oktober tahun lalu, Sanusi berkata kerajaan negeri memperoleh semula hasil selepas terpaksa menanggung kerugian akibat aktiviti perlombongan haram REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik apabila dua kompaun dikenakan terhadap seorang lelaki warga China yang didapati melakukan kegiatan itu.

Dua kompaun berjumlah RM630,000 itu membabitkan kompaun maksimum RM500,000 untuk kesalahan melombong REE dan RM130,000 bagi kesalahan menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) yang dibayar pada 11 Oktober tahun lalu.

Berita Harian X