KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah rendah dan orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara, yang menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menikmati tambang percuma bermula 15 Februari depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pelajar sekolah rendah tidak lagi perlu membeli tiket kereta api, sebaliknya dibolehkan terus menaiki kereta api jika berpakaian seragam sekolah.
Katanya, antara golongan yang benar-benar mendapat manfaat itu adalah 150 pelajar sekolah rendah di laluan stesen kereta api Dabong ke Kuala Gris.
Beliau berkata, kementerian juga akan membincangkan langkah serupa kepada beberapa kumpulan lain seperti pelajar sekolah menengah dan warga emas.
"Secara prinsipnya, kami beri tambang percuma kepada semua pelajar sekolah. Namun, saya akan berbincang dengan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk memberikan manfaat sama kepada pelajar sekolah menengah jika ada peruntukan," katanya.
Terdahulu, beliau menyantuni penumpang KTMB di Stesen KL Sentral sempena sambutan perayaan Tahun Baharu China.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhira Muniayan.
Mengulas lanjut, Loke berkata, tambang percuma itu bagaimanapun tidak membabitkan perkhidmatan tren elektrik (ETS).
Menyentuh mengenai OKU, beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan yang diberikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, malah sudah mengadakan perbincangan di peringkat Kabinet berhubung perkara berkenaan.
"Kita berusaha untuk menambah baik kemudahan kepada golongan sasar seperti OKU, warga emas dan pelajar.
"Kita akan berbincang lebih lanjut mengenai langkah untuk memudahkan OKU kerana mereka ketika ini sudah mempunyai diskaun tetapi perlu membeli tiket dan menunjukkan kad OKU. Kita akan umumkan perkara itu sebelum 15 Februari depan," katanya.
Beliau berkata, peruntukan KTMB untuk memberikan tambang percuma kepada pelajar itu datang daripada penangguhan sementara laluan perkhidmatan kereta api komuter KTM, yang menghubungkan KL Sentral dan Lapangan Terbang Subang atau SkyPark Link.