JOHOR BAHRU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, akan bertemu rakan sejawatnya di Nepal, Bangladesh dan Indonesia bagi menerangkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, yang diputuskan kerajaan, baru-baru ini.
Saifuddin Nasution berkata, pertemuan selama empat hari untuk tiga negara sumber utama pekerja asing itu dijadualkan berlangsung pada hujung bulan ini.
Katanya, beliau diarah Jemaah Menteri untuk memberi penjelasan kepada negara sumber terbabit mengenai perubahan dasar yang akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM), bertujuan memudahkan proses menggaji tenaga asing bagi memenuhi keperluan ekonomi negara.
"Kita harap dengan pemakluman ini nanti, negara terbabit akan dapat memberi kerjasama yang sewajarnya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, hari ini.
Kelmarin, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, memaklumkan sejumlah 500,000 pekerja asing akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, bertujuan menangani masalah kekurangan pekerja asing.
Sivakumar dilaporkan berkata, kemasukan pekerja asing itu khusus bagi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).
Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya akan menambah bilangan itu jika ada keperluan, tetapi tidak boleh melebihi 2.4 juta pekerja asing seperti diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Terdahulu, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, majikan akan dibenarkan untuk menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.
Saifuddin dilaporkan berkata, beliau akan mengetuai siri lawatan bersama KSM dan agensi kawal selia ke 15 negara sumber terpilih bagi membincangkan perihal keselamatan dan kebajikan pekerja asing di negara ini.