Jumaat, 20 Januari 2023 | 2:58pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Nikah sindiket' undang pelbagai masalah, rugikan banyak pihak

SHAH ALAM: Pernikahan dijalankan di luar negara secara tanpa kebenaran atau tidak mengikut peraturan disebut sebagai 'pernikahan sindiket', akan membawa pelbagai masalah dan merugikan banyak pihak, terutama suami isteri kerana tiada Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf sehingga boleh menjejaskan urusan penting pada masa depan.

Perkara itu ditekankan dalam Khutbah Jumaat bertajuk 'Bahana Nikah Sindiket' dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), hari ini, yang menjelaskan antara kesannya ialah proses pendaftaran pernikahan berkenaan akan memakan masa panjang.

Ini kerana ia membabitkan prosiding dan dokumentasi untuk didaftarkan semula dengan pengesahan daripada mahkamah, dan akan bertambah rumit sekiranya dokumen berkaitan yang dikemukakan tidak mencukupi atau palsu.

"Jika tidak didaftarkan, maka tiada Surat Perakuan Nikah yang benar akan diperoleh. Kita harus sedar Surat Perakuan Nikah adalah sangat penting dalam kehidupan suami isteri.

"Tanpanya, kita tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak seperti biasa, lalu mengakibatkan status pengesahtarafan dan warganegara juga tidak dapat dipastikan. Urusan perubatan, rawatan dan pendidikan anak akan turut bermasalah jika tidak mendapat status warganegara," katanya.

Selain itu, pengurusan harta pusaka juga akan terkesan kerana pihak berkaitan gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang diiktiraf.

Menurut khutbah itu lagi, pelbagai tuntutan di mahkamah seperti perceraian, pengesahtarafan anak, nafkah, hadanah, keadilan berpoligami antara isteri-isteri dan harta sepencarian, tidak dapat diuruskan atas faktor gagal mengemukakan Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf.

"Harus diingat juga, bahana sangat memeritkan ialah apabila mahkamah mendapati pernikahan dijalankan di luar negara itu tidak sah kerana tidak menepati hukum syarak. Maka, pernikahan itu akan difaraqkan atau dibubarkan. Kaedah fiqh menyatakan: 'Asal dalam perkara jimak adalah haram'.

"Tindakan undang-undang bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 boleh dikenakan kerana bernikah tanpa kebenaran, dan boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Antara kesalahan yang akan dikenakan denda ialah kesalahan mengikut Seksyen 124 membabitkan poligami tanpa kebenaran, Seksyen 40 (akad nikah tanpa kebenaran), Seksyen 31 (lewat mendaftar perkahwinan) dan Seksyen 134 (bersubahat melakukan pernikahan)," katanya.

Menurut Khutbah Jumaat itu, pelbagai sebab utama dikenal pasti punca berlaku pernikahan di luar negara termasuk 'pernikahan sindiket', seperti berpoligami tanpa kebenaran, dengan alasan ia lebih mudah tanpa melalui proses di mahkamah dan tanpa pengetahuan isteri sedia ada, sedangkan berpoligami dianjurkan antara lain dapat membina jaringan keluarga lebih luas dengan sifat kasih sayang sesama ahlinya.

Punca lain ialah mendakwa wali nasab sedia ada tidak bersetuju atau enggan, sedangkan perkara itu boleh diselesaikan dengan permohonan wali hakim atau wali raja di Mahkamah Rendah Syariah, malah ia lebih mudah dan selamat daripada kesan negatif jangka panjang.

Seterusnya, pasangan terlanjur sehingga ada yang mengandung, justeru menganggap bernikah di luar negara dapat menutup aib mereka, sedangkan hakikatnya setiap perbuatan dosa tetap wajib bertaubat dan bersedia untuk bertanggungjawab dengan kelahiran anak yang berkemungkinan tidak sah taraf.

"Sebab lain ialah pasangan bernikah dengan warga asing, menganggap ia mudah kerana tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak bertanggungjawab bagi warga asing itu, sedangkan proses pendaftaran tanpa kebenaran akan mengambil masa lama dan biasanya menyebabkan kesukaran mendapatkan visa untuk terus tinggal di negara ini.

"Satu lagi punca dikenal pasti ialah rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara kerana belajar atau bekerja di luar negara, sering menganggap tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berwajib, sedangkan pelbagai kemudahan telah ada bagi mendapatkan kebenaran berkahwin," katanya.

Menyedari hakikat bahana perkahwinan luar negara tanpa kebenaran, khutbah itu menegaskan, umat Islam wajib mengambil pengajaran bahawa pernikahan yang hendak dilaksanakan mesti mengikut hukum syarak serta segala peraturan ditetapkan pemerintah, demi kehidupan keluarga yang mawaddah, warahmah, sakinah dan sentiasa mendapat keredaan Allah SWT.

Katanya, undang-undang dibuat bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya tujuan utama Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dikuatkuasakan ialah menjaga kebajikan isteri dan anak-anak pada masa akan datang.

Berita Harian X