UNIVERSITI swasta terkemuka di Malaysia, Taylor's University telah melancarkan program pertama di Malaysia yang mengaplikasikan teknologi imersif seperti realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR), dan realiti lanjutan (ER) dalam melahirkan graduan yang dapat memenuhi permintaan bagi bakat digital masa hadapan.
Ditawarkan di bawah Fakulti Inovasi dan Teknologi, dua program terbaharu Taylor's University adalah Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Ruang Interaktif (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Pengurusan Pembinaan Digital Lestari.
Kedua-dua program ini direka untuk memupuk pelajar dengan kemahiran insaniah yang boleh dipindah seperti pemikiran kritikal, komunikasi berkesan, kreativiti dan kebolehsuaian untuk meningkatkan kejayaan dalam persekitaran kerja, serta pengetahuan luas.
Dekan Eksekutif Fakulti Inovasi dan Teknologi Taylor's University, Profesor Dr David Asirvatham, berkata program inovatif itu dilengkapi dengan pusat pembelajaran realiti lanjutan (XR) masa depan bertaraf dunia di Asia Tenggara, Taylor's Virtual Online Future Technology & Extended Reality (VORTEX XR Lab).
"Kemudahan XR yang mengintegrasikan realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR), dan realiti campuran (MR) dengan pelaburan lebih daripada RM1.2 juta ini membolehkan akses kepada teknologi terkini dan kemahiran khusus yang berguna untuk pengajaran dan pembelajaran," kata Prof David.
Selaras dengan usaha XR universiti, makmal VORTEX XR menyokong semua pusat pengajian di Taylor's University daripada hospitaliti dan seni bina kepada reka bentuk, undang-undang, komunikasi, perubatan, seni kulinari dan lain-lain.
Firma penyelidikan dan penasihat global Gartner meramalkan bahawa 70 peratus daripada perusahaan terutamanya sektor runcit akan bereksperimen dengan teknologi yang mendalam untuk pengguna.
Justeru, graduan masa hadapan bukan sahaja perlu memenuhi permintaan untuk kemahiran yang dipacu oleh teknologi mendalam tetapi memenuhi wawasan 2050 Malaysia.
Sarjana Muda Reka Bentuk Ruang Interaktif (Kepujian)
Dr Son Lam Tatt, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Seni Bina, Bangunan dan Reka Bentuk menunjukkan lawatan dan pemeriksaan tapak maya. - FOTO Taylor's University
Sarjana Muda Reka Bentuk Ruang Interaktif (Bachelor of Interactive Spatial Design) direka bagi memenuhi permintaan semasa dunia dengan kemajuan teknologi.
Menerusi program ini, pelajar akan mempelajari asas teori reka bentuk ruang berasaskan teknologi dan kandungan automasi untuk persekitaran dalaman dan luaran.
Menurut Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Ruang Interaktif Din Tan Chin Seng, program ini memberi tumpuan kepada melahirkan pereka, ahli teknologi dan usahawan teknologi yang bijak mereka bentuk digital untuk merangsang pengalaman pelbagai ruang.
"Disiplin ini menggabungkan teknologi digital dan prinsip reka bentuk ruang tradisional untuk menambah baik cara interaksi dengan persekitaran kita dengan menggunakan alam sekitar sebagai medium untuk mempromosikan permainan, penglibatan dan komunikasi," kata Chin Seng.
Program ini menawarkan dua pengkhususan, Reka Bentuk Rumah Pintar dan Reka Bentuk Persekitaran Pintar, dan pelajar mempunyai tiga pilihan landasan pembelajaran untuk dipilih iaitu latihan amali konvensional, pengalaman pembelajaran berasaskan kerja dengan rakan industri dan mod teknousahawan.
Antara rakan industri yang terlibat adalah FrameMotion Studio Sdn Bhd, Virtual X Malaysia, Ministry XR, HONOR dan IMT Smart Home.
Bagi mod teknousahawan pelajar akan mendapat peluang untuk memulakan perniagaan dengan bimbingan oleh inkubator permulaan usahawan Taylor's University, BizPod.
Pengkhususan Reka Bentuk Rumah Pintar menghasilkan pereka bentuk untuk mencipta ruang kediaman pintar diperibadikan yang boleh beroperasi secara automatik.
Manakala pengkhususan Reka Bentuk Persekitaran Pintar mengubah cara kita berinteraksi dengan produk dan menggunakan maklumat menggunakan teknologi ruang.
Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Pengurusan Pembinaan Digital Lestari
Dr Sujatavani, berkongsi tentang Reka Bentuk Cetakan 3D untuk Pembuatan dan Pemasangan (DfMA) bertujuan mengurangkan kos dan kerumitan sesuatu bahagian atau produk- FOTO Taylor's University
Bagi Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan Pembinaan Digital Lestari, program ini direka selaras dengan piawaian kecekapan dan rangka kerja pendidikan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan Institut Bangunan Bertauliah untuk menyediakan graduan dengan kaedah menangani cabaran kelestarian dan transformasi digital dalam industri pembinaan.
Program ini menawarkan dua pengkhususan, Pembinaan Hijau dan Pembinaan Pintar, sejajar dengan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 2021–2025 yang dibentangkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan berkaitan dengan Pembinaan 4.0
Pengkhususan Pembinaan Pintar memperkenalkan teknologi yang boleh meningkatkan amalan pengurusan pembinaan menggunakan Internet Benda (Internet of Things), Pemodelan Maklumat Bangunan Termaju (BIM) dan realiti lanjutan dalam pembinaan.
Manakala, pembinaan Hijau menggalakkan pemuliharaan tenaga, pengurangan sisa dan kitar semula yang menekankan pendekatan kelestarian.
Program ini diketuai bersama oleh pemimpin dan rakan kongsi industri seperti Eco World Development Group Berhad dan Green Quarter Sdn Bhd memastikan pengalaman praktikal secara langsung dalam persekitaran binaan dan berkaitan industri di dalam kurikulum yang dibangunkan.
Pelajar mempunyai dua pilihan landasan pembelajaran untuk dipilih iaitu latihan amali konvensional atau pengalaman pembelajaran berasaskan kerja selama setahun dengan rakan kongsi industri bagi mempersiapkan graduan dengan kemahiran industri senibina, kejuruteraan dan pembinaan tempatan dan global.
Menurut Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan Pembinaan Digital Lestari Dr Sujatavani Gunasagaran, kurikulum tersebut secara khusus melengkapkan pelajar dengan kemahiran digital untuk berada di barisan hadapan bagi menyokong pembinaan industri digital.
"Dengan membantu pelajar menerima Revolusi Perindustrian Keempat, program ini juga menggabungkan teknologi digital seperti pengimbasan laser, dron, kecerdasan buatan, AR dan percetakan 3D," katanya.
Program-program baharu Taylor's University akan dibuka untuk pengambilan pelajar pertamanya pada Mac 2023, dan mempunyai dua pengambilan setiap tahun pada bulan Mac dan Ogos. Untuk maklumat lanjut, layari Taylor's University.