Khamis, 19 Januari 2023 | 4:52pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi pada Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi pada Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. - Foto BERNAMA

Rakyat yakin konsep Madani bawa perubahan besar kepada negara

KUALA LUMPUR: Rakyat yakin kerangka dasar baharu untuk negara dengan konsep Madani dapat membawa perubahan besar kepada negara, terutama dalam merencanakan kepentingan rakyat.

Rata-rata orang ramai yang ditemui melihat dasar itu akan akan memberi manfaat menyeluruh berdasarkan enam tonggak utamanya iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).

Penduduk daerah Pendang, Zulqarnain Othman, 36, berkata beliau yakin hala tuju yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah usaha yang baik dan perlu disokong semua lapisan masyarakat.

Beliau yang juga pekerja swasta berkata, dasar yang dibawa itu perlu seiring dengan usaha untuk merealisasikannya dan bukan hanya sekadar jenama kerajaan semata-mata.

Pekerja swasta, Zulqarnain Othman.
Pekerja swasta, Zulqarnain Othman.

"Kerangka hala tuju itu sangat bagus tapi ia perlu seiring dengan usaha, jangan hanya pada 'branding' nama Madani sahaja.

"Pada masa sama, perlu ada rangsangan lain untuk memenuhi matlamat atau agenda yang ditetapkan dalam tonggak Madani.

"Saya yakin Perdana Menteri akan membawa rakyat Malaysia ke arah yang lebih baik, sama ada dari segi ekonomi mahupun sosial," katanya.

Mohd Fazil Ahmad, 43, berkata beliau yakin kerangka dasar baharu Kerajaan Perpaduan itu akan memberi limpahan ekonomi kepada rakyat, terutama golongan B40.

KMohd Fazil Ahmad.
KMohd Fazil Ahmad.

Sebagai rakyat, katanya, beliau menyokong segala usaha yang terbaik, yang boleh membawa kemajuan kepada negara, asalkan penduduk di kawasan luar bandar tidak dipinggirkan.

"Setiap rakyat perlu terbabit dalam Membangun Malaysia Madani. Kesejahteraan rakyat bermula dengan ekonomi yang stabil, selain pembangunan modal insan.

"Saya yakin jika Malaysia dapat melahirkan ramai pemimpin dengan nilai yang tinggi, negara akan selamat dan sejahtera. Apa yang penting, agama Islam terus dijulang dan diperkasakan," katanya.

Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Fatin Nur Najwa Che Razak, 24, berharap konsep Malaysia Madani diharap dapat membantu membuka ruang kerjaya yang lebih luas kepada golongan muda yang berhadapan dengan isu pengangguran.

"Golongan muda bersedia memberi kerjasama penuh bagi menyokong tindakan kerajaan ini. Kami berharap gagasan baharu ini juga membantu membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada golongan muda yang berhadapan isu pengangguran.

"Melalui konsep Malaysia Madani juga, rakyat mahu melihat kematangan politik negara supaya berada dalam keadaan stabil dan tidak huru hara," katanya yang mengikuti pengajian Sains Perniagaan Tani di UiTM Jasin, Melaka.

Kakitangan awam, Nur Ain Abdul Manaf, 28, yakin dasar baharu itu dapat memacu kemajuan negara terutama dalam pembangunan ekonomi.

"Umum mengetahui, negara berhadapan dengan pelbagai ujian selepas ditimpa musibah COVID-19 dan bencana alam seperti banjir serta tanah runtuh. Justeru, konsep ini adalah satu penyuntik semangat baharu untuk kita terus bangkit selepas ini.

"Besar harapan kami sebagai rakyat agar kepemimpinan kali ini mampu memimpin negara ke arah yang lebih baik dan cemerlang supaya Malaysia terus menjadi sebuah negara yang gah dalam setiap bidang," katanya.

Berita Harian X