PUTRAJAYA: Kerajaan mampu menyelamatkan ketirisan antara RM5 hingga RM6 bilion jika segala kelemahan berpuluh tahun yang ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dapat ditangani dan diperbaiki pemimpin politik dan penjawat awam, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ketika LKAN2021 diteliti pada Mesyuarat Kabinet semalam, didapati ada antara kelemahan itu berulang kali disebut dalam LKAN.
"Kalau dapat diperbaiki kelemahan yang disebut berulang kali selama berpuluh tahun oleh Ketua Audit Negara oleh pimpinan politik dan penjawat awam, saya yakin RM5 hingga RM6 bilion ringgit boleh diselamatkan. Itu dari Laporan Audit Negara.
"Daripada kajian projek besar dan termasuk kekuatan badan penguatkuasaan, sekiranya dijalankan dengan teliti, telus dan bertanggungjawab saya yakin berbilion ringgit lagi boleh diselamatkan.
"Kalau kata dana kita kurang RM15 bilion, pengurusan yang cekap dan baik itu boleh menyelamatkan RM15 bilion tanpa projek, ikhtiar dan inisiatif baharu," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Program Amanat Perdana Menteri: Membangun Malaysia Madani, di sini, hari ini.
Anwar berkata, ia adalah cabaran yang dihadapi dan tidak mungkin dilaksanakan oleh Jemaah Menteri sahaja sebaliknya dengan kerjasama seluruh kekuatan yang ada.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, dalam mendepani 2023, beliau percaya konsep MADANI yang dibawanya itu akan kekal relevan dan direncanakan sebagai satu iltizam serta pendekatan untuk menyelamatkan negara.
Katanya, beliau enggan mengungkit pengalaman lalu, berikutan ada kekuatan dan sumbangan yang boleh dimanfaatkan tanpa mengira dari blok, parti, fahaman mana.
Namun, beliau berkata, semua kelemahan dulu perlu dihentikan.
"Kelemahan terbesar adalah cara mengurus, menggunakan ruang untuk mengkayakan kelompok kecil.
"Saya yakin sekiranya kita dapat urus tadbir baik (kita) dapat mendepani kemelut ekonomi mendatang dengan jauh lebih yakin," katanya