Khamis, 19 Januari 2023 | 1:44pm

Empat ditahan bersama rokok seludup RM10.8 juta

SUNGAI BULOH: Polis menahan empat lelaki dan merampas 143,950 karton rokok tidak bercukai kastam dianggarkan bernilai RM10.8 juta dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Bukit Rahman Putra di sini, semalam.

Serbuan dijalankan kira-kira jam 12.14 tengah hari menerusi Op Kontraban oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, hasil risikan dan maklumat awam.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata tangkapan ke atas empat lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 30 tahun dilakukan di tempat serbuan terdiri daripada pekerja stor dan 'transporter' (pengangkut).

"Rampasan terdiri daripada 2,455 kotak dan setiap kotak mengandungi 50 karton rokok jenama La Black serta 265 kotak dengan setiap kotak mengandungi 80 karton rokok jenama La Light.

"Jumlah keseluruhan rampasan membabitkan 143,950 karton dengan nilai sebelum cuka dianggarkan RM10,864 juta.

"Kita turut merampas sebuah kereta PERODUA Myvi, serta dua lori yang digunakan sindiket ini," katanya pada sidang media di IPD Sungai Buloh di sini, hari ini.

Sasikala Devi berkata, siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai berperanan sebagai 'transporter' untuk mengedarkan rokok berkenaan di sekitar Lembah Klang mengikut permintaan.

"Siasatan mendapat sindiket ini menerima pesanan menerusi aplikasi sembang maya dari sindiket tertentu dan mereka ini bertanggung jawab untuk menghantar pesanan berkenaan mengikut permintaan sindiket berkenaan.

"Premis yang diserbu itu terletak di kawasan yang agak tersorok dan terpencil. Ia dipercayai dijadikan stor penyimpanan rokok yang diseludup dari negarq itu sebelum diedarkan.

"Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung dalang utama sindiket ini dengan siasatan dijalankan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya yang turut memaklumkan sindiket ini dipercayai sudah beroperasi sejak Januari 2022.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman empat hari hingga 23 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi (dua kiri) bersama barang rampasan pada sidang media tangkapan dan rampasan rokok disyaki tidak bercukai kastam dalam Op Kontraban di IPD Sungai Buloh. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi (dua kiri) bersama barang rampasan pada sidang media tangkapan dan rampasan rokok disyaki tidak bercukai kastam dalam Op Kontraban di IPD Sungai Buloh. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X