Rabu, 18 Januari 2023 | 9:50pm

Kerajaan tak kompromi penyelewengan, rasuah

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan segala bentuk rasuah dan penyelewengan terutama ketika negara dalam fasa penyusunan semula dan pembaharuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata penekanan nilai integriti dan tata kelola yang baik dalam pentadbiran organisasi adalah salah satu tonggak utama kerajaan.

Beliau berkata, ia kerana melalui amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban dapat menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negara dan rakyat.

"Kerajaan hari ini komited untuk menerapkan nilai integriti dan tadbir urus yang baik dalam rangka kerja masyarakat. Kedua-dua komponen berkenaan saling melengkapi antara satu sama lain.

"Kekurangan salah satu darinya akan menyebabkan kepincangan ekosistem pengurusan sesebuah organisasi, syarikat dan negara," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 di Auditorium Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini, malam ini.

Beliau berkata, organisasi korporat juga perlu komited untuk meningkatkan penerapan nilai integriti dan tata kelola baik melalui pengukuhan sistem kawalan dalaman serta aktiviti yang menyokong kepada usaha pencegahan rasuah.

Katanya, pelaksanaan itu seiring sasaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di bawah sasaran ke-16: Keamanan,Keadilan dan Institusi Yang Kukuh.

"Malah, gandingan integriti dan tata kelola juga mampu menjana produktiviti sesebuah syarikat dan memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Lanjutan itu, syarikat asing dan domestik juga akan semakin yakin untuk melabur dalam negara ini disamping mencipta peluang pekerjaan baru untuk rakyat," katanya.

Fadillah menandatangani plak perasmian pada majlis penyampaian Anugerah AIGA 2022 di Institut Integriti Malaysia. - NSTP/Asyraf Hamzah
Fadillah menandatangani plak perasmian pada majlis penyampaian Anugerah AIGA 2022 di Institut Integriti Malaysia. - NSTP/Asyraf Hamzah

Beliau berkata, kerajaan akan terus memberikan komitmen terhadap agenda pemantapan integriti dan tata kelola baik melalui pemantapan peranan IIM.

Katanya, ia juga selaras keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 19 September tahun lalu berhubung penilaian semula hala tuju IIM.

"Selari komitmen Kerajaan Perpaduan untuk meningkatkan integriti dan tata kelola dalam Kerajaan, peranan dan fungsi IIM akan terus diperkukuhkan sesuai dengan keperluan negara," katanya.

Beliau turut berharap semua inisiatif di bawah agenda reformasi Kerajaan Perpaduan akan meningkatkan reputasi Malaysia sebagai negara yang mementingkan integriti dan profesionalisme.

Mengenai penganjuran AIGA, Fadillah berkata, ia tepat pada masanya ketika Kerajaan Perpaduan memberikan fokus dan tumpuan sepenuhnya terhadap usaha untuk meningkatkan integriti dan tata kelola baik serta menghapuskan rasuah di semua peringkat dan lapisan masyarakat.

Beliau berharap, AIGA dapat menjadi pencetus dan penanda aras kepada semangat baharu negara dalam meningkatkan tahap integriti, tata kelola dan antirasuah bagi sektor awam dan pengurusan sektor swasta.

Fadillah berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 di Auditorium Institut Integriti Malaysia (IIM). ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Fadillah berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 di Auditorium Institut Integriti Malaysia (IIM). ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X