Rabu, 18 Januari 2023 | 3:20pm

Tegur menteri tak perlu menerusi media

PUTRAJAYA: Teguran atau pandangan kakitangan bawahan terhadap menteri dan pegawai atasan dalam pentadbiran seharusnya tidak melalui pihak ketiga seperti media massa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebaliknya kakitangan bawahan boleh menggunakan mekanisme sedia ada seperti pertemuan setiap hari atau melalui mesyuarat selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

"Ada mesyuarat 'post cab'. Dia boleh kemukakan pandangan. Kalau dia rasa agak menyinggung, mungkin dia jumpa secara berasingan. Tetapi dia harus ditegur.

"Saya dengan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) ... saya selalu sebut dengan KSN, kalau arahan saya itu ikut peraturan dan sesuai. Kalau tidak, tolong nasihat. Ini barulah kita kerja berpasukan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata, semua kakitangan awam perlu juga menerima kenyataan mereka juga boleh ditegur oleh pegawai atasan, sekiranya berlaku keterlanjuran.

Beliau berkata, jika amalan tegur menegur kesilapan itu tidak dilakukan, budaya rasa takut itu akan menyebabkan perlanggaran berlaku dan tindakan tidak diambil untuk mencegahnya.

BH semalam melaporkan CUEPACS mahu kerajaan mengeluarkan garis panduan jelas berhubung kaedah atau mekanisme untuk penjawat awam membuat teguran terhadap Jemaah Menteri yang didapati membuat keputusan melanggar peraturan dan undang-undang.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, dilaporkan berkata, ia bagi mengelakkan penganiayaan terhadap penjawat yang membuat laporan salah laku sedemikian.

Dalam ucapannya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri Isnin lalu, Anwar dilaporkan meminta dan kakitangan awam menegur keputusan dibuat oleh menteri, termasuk Perdana Menteri jika didapati melanggar peraturan undang-undang.

Perdana Menteri berkata, pegawai yang melaksanakan arahan mengandungi apa yang disifatkan sebagai keterlanjuran, tidak boleh dipersalah berikutan ia diminitkan oleh menteri dan menyebabkan mereka mematuhinya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua dari kiri) bersama penjawat awam di Shah Alam. - Foto hiasan NSTP/FAIZ ANUAR
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua dari kiri) bersama penjawat awam di Shah Alam. - Foto hiasan NSTP/FAIZ ANUAR

Berita Harian X