Selasa, 17 Januari 2023 | 7:41pm
Dr Khairuddin Aman Razali
Dr Khairuddin Aman Razali

Dr Khairuddin Aman Razali ahli Majlis Ulama UMNO

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyertai Majlis Ulama UMNO.

Beliau memaklumkan perkara itu dalam satu hantaran Facebook mengenai pertemuannya dengan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad, hari ini.

"Insya-Allah beliau (Dusuki) juga akan dibantu oleh Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang pernah menjadi Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS," katanya.

Pertemuan itu adalah yang pertama sejak Majlis Ulama UMNO diumum ditubuhkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 berakhir Sabtu lalu.

Mohd Khairuddin, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus menyertai UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15.

Khairuddin mempertahankan kerusinya atas tiket Barisan Nasional (BN) namun tewas.

Ahmad Zahid berkata, Dusuki bukan saja sahabat lama beliau, bahkan seorang ulama, pemikir dan veteran UMNO.

Ahmad Zahid berkata ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, beliau pernah diminta membantu Dusuki yang ketika itu Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), apabila dilantik sebagai Pengerusi YADIM Holding.

Katanya, selaku tokoh agama yang banyak pengalaman dan jaringan persahabatan dalam kalangan ulama dan cendekiawan Islam dalam dan luar negara, beliau percaya Dusuki mampu membantu beliau dan UMNO memperkukuhkan lagi agenda dakwah Islamiyyah, pendidikan Islam dan tarbiyyah dalam parti.

Dusuki bekas Ahli Parlimen Tumpat pernah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Wilayah dan Kementerian Penerangan dari tahun 1982-1990.

Berkelulusan Ijazah Sarjana dalam Bidang Syariah daripada Universiti Al-Azhar, Dusuki pernah dilantik sebagai Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO dan Setiausaha Biro Agama UMNO.

Berita Harian X