Selasa, 17 Januari 2023 | 7:28pm
Aminuddin (dua dari kanan) menyampaikan Watikah Jawatankuasa Kariah Masjid Sesi 2023-2024 Negeri Sembilan di Seremban, petang ini. NSTP/Mohd Amin Jalil
Aminuddin (dua dari kanan) menyampaikan Watikah Jawatankuasa Kariah Masjid Sesi 2023-2024 Negeri Sembilan di Seremban, petang ini. NSTP/Mohd Amin Jalil

Jun 2023 paling sesuai diadakan PRN - Aminuddin

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersetuju dengan pandangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan pada Jun tahun ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, berkata sebelum ini pihaknya sudah memberikan pandangan mengenai waktu yang sesuai diadakan PRN.

Katanya, perbincangan secara tidak rasmi juga sudah diadakan di antara Ketua Menteri dan Menteri Besar membabitkan Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Memang saya bersetuju dengan pandangan beliau (Chow Kon Yeow) mengenai waktu yang sesuai diadakan PRN iaitu pada Jun tahun ini.

"Saya juga bersama Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang dan rakan sejawat kami di Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk kami putuskan tarikh (PRN) supaya tidak berlaku pertindihan.

"Kami juga akan membawanya untuk bincangkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya ketika ditemui di sini, petang ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Jawatankuasa Kariah Masjid Sesi 2023-2024 dan Melancarkan Pelan Peningkatan Jemaah Masjid Negeri Sembilan, di Klana Resort di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd Zaidi Ramli.

Sebelum ini, media melaporkan, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berpandangan bahawa Jun ini adalah waktu yang paling sesuai untuk mengadakan PRN.

Yeow dilaporkan berkata, tempoh yang ada pada masa ini adalah singkat jika Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri masing-masing dibubarkan misalnya pada Februari atau Mac dan banyak pihak tidak bersedia.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, berkata pihaknya turut berpandangan bahawa pemakluman awal mengenai PRN adalah penting bagi membolehkan semua pihak yang terbabit dapat membuat persiapan.

"Semua orang boleh membuat persiapan untuk pilihan raya, malah parti politik dan calon juga boleh membuat persiapan dengan lebih kepastian.

"Ia memberi ruang untuk bersedia menggerakkan jentera, berkempen menghadapi pilihan raya, dan itu yang sepatutnya.

"Indikasi awal itu begitulah dan kita berharap dapat diadakan (PRN) pada Jun ini," katanya.

Berita Harian X