KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini melancarkan pelan strategik 2023 merangkumi lima teras strategik, 24 strategi dan 185 program serta projek dengan enam petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata pelan itu bertujuan menyediakan ekosistem yang kondusif, meningkatkan daya tahan dan daya saing usahawan pasca pandemik, selain memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan keusahawanan.
"Susulan kemerosotan ekonomi akibat pandemik COVID-19 dan krisis kewangan dunia, faktor-faktor seperti kadar inflasi tinggi, peningkatan kos sara hidup, kelemahan sektor utama ekonomi dunia dan ketegangan geopolitik, KUSKOP telah merangka pelan strategik ini.
"Ia bagi meningkatkan daya saing dan daya tahan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) supaya lebih kalis cabaran demi kestabilan sektor keusahawanan. Bagi merealisasikan objektif pelan ini, lima teras strategik, 24 strategi dan 185 program serta projek dirangka, selain enam KPI perlu dicapai.
"Ia merangkumi penggubalan dasar, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan kapasiti, akses pembiayaan, akses pasaran, adaptasi teknologi dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan.
"Saya yakin, pendekatan yang dirangka di bawah halatuju strategik ini akan menzahirkan usahawan yang lebih cekal, berdaya maju, proaktif, kompetitif dan inovatif serta berupaya menampan situasi di luar jangkaan pada masa hadapan," katanya pada majlis amanat di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini hari ini.
Ewon menjelaskan, pelan strategik berkenaan yang menggariskan beberapa fokus keutamaan dalam pelaksanaan dan penentuan kumpulan sasar melalui inisiatif pembangunan keusahawanan, dijangka memanfaatkan 543,080 usahawan sedia ada dan bakal usahawan.
Katanya, 97 peratus usahawan didapati kekal bertahan pasca pandemik, justeru KUSKOP mengutamakan peningkatan adaptasi teknologi dan pendigitalan dalam kalangan usahawan dan koperasi, memastikan akses pembiayaan diperluaskan, manakala latihan dan bimbingan keusahawanan ditawarkan secara 'hands-on'.
Beliau berkata, peranan perusahaan sosial pula mampu menjadi wadah memudahcara pembangunan komuniti dan wilayah yang berkesan, khususnya luar bandar dan wilayah Borneo, Sabah dan Sarawak yang mempunyai capaian terhad dari aspek geografi dan infrastruktur.
"Justeru, pelaksanaan inisiatif di bawah Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 atau SEMy2030 sebagai hala tuju nasional pembangunan keusahawanan sosial, harus diperkasakan agar impak dihasilkan dapat menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan," katanya.
Menurutnya, PMKS masih memerlukan intervensi daripada kerajaan bagi memastikan usahawan dapat terus bangkit dan kekal bertahan.
"Walaupun pembukaan sektor ekonomi secara menyeluruh telah mencatatkan pertumbuhan positif ekonomi negara, prestasi jualan usahawan masih belum menunjukkan trend pemulihan yang memberangsangkan.
"Hanya 45 peratus usahawan mencatatkan peningkatan dalam jualan, selebihnya melaporkan prestasi perniagaan mereka sama ada alami penurunan atau tiada perubahan. Malah, kebanyakan PMKS turut alami penurunan dalam nilai jualan berbanding hasil kaji selidik dilaksanakan pada Mac 2022.
"Bilangan perusahaan yang gulung tikar mencatatkan peningkatan iaitu 2.7 peratus hasil kajian pada November lalu, berbanding 1.4 peratus pada Mac 2022," katanya.