KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengeluarkan satu garis panduan jelas berhubung kaedah atau mekanisme untuk penjawat awam membuat teguran terhadap anggota Jemaah Menteri yang didapati membuat keputusan melanggar peraturan dan undang-undang.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata ia bagi mengelakkan penganiayaan terhadap penjawat yang membuat laporan salah laku sedemikian.
"Sekiranya tiada garis panduan yang jelas mengenai sistem aduan, terutama dalam hal membabitkan kerahsian pengadu, tempoh siasatan, jenis aduan dan ketelusan dalam siasatan, sudah pasti usaha ini tidak akan mendapat sambutan warga penjawat awam.
"Sebelum ini terdapat kes penjawat awam diberi tekanan seperti halangan kenaikan pangkat, pertukaran tempat kerja dan gangguan dalam jadual pekerjaan apabila melaporkan salah laku dalam jabatan dan agensi kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang meminta dan kakitangan awam menegur sebarang keputusan dibuat oleh menteri, termasuk Perdana Menteri jika ia didapati melanggar peraturan undang-undang.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, pegawai yang melaksanakan arahan mengandungi apa yang disifatkan sebagai keterlanjuran, tidak boleh dipersalahkan berikutan ia diminitkan oleh menteri dan menyebabkan mereka mematuhinya.
Adnan berkata, ramai penjawat awam takut untuk melaporkan salah laku, terutama melibatkan mereka yang berstatus menteri kerana bimbang dengan tekanan serta karier mereka tergugat.
"Ketika ini CUEPACS melihat amat sukar untuk warga perkhidmatan awam memberi teguran kepada ketua jabatan masing-masing termasuk melibatkan Jemaah Menteri. Kesediaan pegawai tertinggi serta menteri menerima teguran masih menjadi persoalan, sama ada boleh terima dengan baik atau sebaliknya.
"Melalui pekeliling dan dasar sedia ada ketika ini pun, amat sukar untuk penjawat awam memberi teguran membina kepada jabatan atau agensi masing-masing. Jika mahu memberi teguran kepada Jemaah Menteri, tentu lebih sukar.
"Ini kerana kebimbangan dalam kalangan penjawat awam sendiri yang mungkin akan menerima tekanan tertentu, bukan sahaja daripada ketua jabatan, malah dari pegawai-pegawai menteri itu sendiri," katanya.
Oleh itu, katanya, penting ada panduan atau sistem yang jelas diperkenalkan oleh kerajaan bagi membolehkan warga perkhidmatan awam turut sama terbabit dalam memerangi gejala salah laku, terutama membabitkan pegawai tertinggi kerajaan dan menteri.
Katanya, keutamaan yang perlu diberikan oleh kerajaan adalah memastikan kerahsian pengadu sendiri selain ketulenan aduan dibuat yang juga perlu ditangani dengan baik bagi memastikan ia dilaksanakan atau mempunyai penyelesaian sewajarnya.
"Jika tidak mempunyai penyelesaian, ia hanya buang masa. CUEPACS juga tidak mahu aduan tidak tulen dibuat sehingga boleh menjejaskan kredibiliti pegawai atau menteri terlibat. Sebab itu perlu untuk memastikan garis panduan atau sistem pengaduan itu jelas dan ia amat penting," katanya.
Adnan berkata, CUEPACS bagaimanapun menyambut baik kesediaan Perdana Menteri untuk menerima teguran daripada warga penjawat awam terhadap kerajaan sekiranya didapati melanggar undang-undang dalam hal berkaitan tata kelola pentadbiran.
"CUEPACS melihat saranan itu amat baik memandangkan penjawat awam adalah sebahagian daripada pentadbiran kerajaan dan mengetahui segala tindak tanduk pegawai atasan serta menteri," katanya.