PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesan hampir 20 peratus permohonan MyKid yang sudah diluluskan dan siap masih belum dikutip ibu bapa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata jika kad pengenalan diri untuk kanak-kanak di negara ini masih tidak dikutip ibu bapa yang memohonnya, ia akan terpaksa dilupuskan.
"Pada masa sama, saya mengambil peluang bagi pihak JPN, mengingatkan masyarakat bahawa peratusan MyKid yang tidak dikutip itu tinggi, hampir 20 peratus.
"Jadi permohonan dah dibuat (dan) diluluskan. MyKid siap tetapi 20 peratus tak ambil. Kalau tak diambil selepas sekian lama tempoh ia diluluskan, itu membabitkan kerugian," katanya selepas menerima kunjungan hormat kepimpinan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) diketuai Pengerusi Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, petang tadi di pejabatnya, di sini.
Yang turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar; dan Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan dan Pejabat Pengerusi Kumpulan, Azlan Abdul Aziz.
Difahamkan, sejak 2019 hingga 2022, JPN merekodkan sebanyak 464,427 MyKid dikeluarkan dengan sebanyak 85,641 keping dokumen itu masih belum dituntut.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau juga berterima kasih kepada Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh, yang berterus terang meminta orang ramai bersabar berikutan terpaksa menunggu lama berikutan kekurangan bekalan kad berkenaan. Berikutan itu, tempoh perolehan MyKid mengambil masa enam bulan.
Beliau berkata, sikap terus terang Ruslin itu bertujuan mempersiapkan masyarakat bahawa permohonan terus dibuka tetapi mengambil masa.
Sementara itu, Saifuddin berkata, pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kecekapan Jabatan Imigresen menguruskan isu kemasukan pekerja asing ke negara ini, memberi isyarat bahawa beliau mahu jabatan lain juga sekurang-kurangnya mencapai tahap yang sama.
Beliau berkata, sejak awal lagi Perdana Menteri sememangnya memberikan tumpuan rapat membabitkan beberapa isu yang dipertanggungjawabkan ke atas KDN.
Ia termasuk Jabatan Imigresen, kerana saiz jabatan itu yang besar serta penting dan ia memberikan apa yang disifatkan sebagai pandangan awal masyarakat atau pelawat antarabangsa terhadap negara ini.
"Pasukan polis misalnya yang kita faham mengenai kepentingannya. Jadi peringatan Perdana Menteri sama ada beliau memberikan pujian atau teguran kami anggap sebagai sebahagian daripada maklum balas yang kami ambil berat," katanya.