Isnin, 16 Januari 2023 | 4:47pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kedutaan Indonesia tunggu tarikh bincang kebajikan, isu dera pekerja

KUALA LUMPUR: Pejabat Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada kerajaan untuk mengadakan perbincangan berhubung isu kebajikan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang dibangkitkan, baru-baru ini.

Seorang pegawai kedutaan yang dihubungi BH, berkata setakat ini mereka masih menunggu tarikh pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membincangkan isu berkenaan.

Katanya, perkara mengenai kebajikan yang menyentuh mengenai penderaan dan pengabaian pekerja Indonesia, majikan Malaysia serta penguatkuasaan untuk memastikan kejadian sedemikian tidak berulang juga sudah dibangkitkan kepada kementerian berkenaan.

"Setakat ini, kita melihat secara nyata perkara itu termasuk apa yang sudah disampaikan sendiri oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia dan masih menanti tindakan yang sudah dibangkitkan kepada Kerajaan Malaysia.

"Tiada tarikh lagi untuk perbincangan itu, kedutaan masih menunggu maklum balas daripada KDN," katanya, di sini, hari ini.

Hermono yang juga Duta Besar Indonesia ke Malaysia dalam pertemuan dengan wakil media, Sabtu lalu, berkata pihaknya berharap isu kebajikan TKI di Malaysia menemui jalan penyelesaian yang positif.

Beliau berkata, isu penderaan oleh majikan di negara ini tidak sepatutnya berlaku kerana masyarakat Malaysia-Indonesia adalah serumpun tetapi kejadian itu masih terjadi sehingga kini.

Media Indonesia sejak Sabtu lalu turut melaporkan mengenai komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjanji menyelesaikan perkara berkaitan digitalisasi dan hukuman bagi menghentikan tindakan penderaan kepada TKI.

Mengulas lanjut, pegawai kedutaan itu berkata, pihaknya masih meneliti jumlah sebenar kes dera membabitkan TKI di Malaysia.

"Kita memberi perhatian utama mengenai isu perlindungan pekerja imigran dan sudah tentu kita mahu ia dicapai dengan kaedah lebih terbaik daripada apa yang ada hari ini," katanya.

September lalu, Hermono dalam satu laporan media melaporkan, sebanyak 797 kes penderaan membabitkan pembantu rumah warga Indonesia dilaporkan kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia sejak 2020 hingga Jun 2022.

Hermono berkata, selain mengalami penderaan fizikal, mereka turut dilayan seperti hamba moden kerana terpaksa bekerja bertahun-tahun tanpa gaji dan rehat secukupnya.

Katanya, dari awal pandemik sehingga Jun tahun lalu, kedutaan menerima 12,923 laporan daripada pembantu rumah.

Berita Harian X