PUTRAJAYA: Pegawai dan kakitangan awam perlu menegur sebarang keputusan dibuat Menteri termasuk Perdana Menteri, jika ia didapati melanggar peraturan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pegawai yang melaksanakan arahan yang mengandungi apa disifatkan sebagai keterlanjuran tidak boleh dipersalahkan berikutan ia diminitkan oleh menteri menyebabkan mereka mematuhinya.
"Saya tekankan penguatkuasaan. Apa yang saya pelajari terutama di Kementerian Kewangan, melihat banyak fail banyak keterlanjuran.
"Nak salahkan pegawai kalau minit daripada menteri apatah lagi Perdana Menteri dia patuh.
"Tetapi saya sudah beri arahan jelas kalau ada minit daripada Perdana Menteri sendiri pun kalau dianggap melanggar peraturan dan undang-undang, sekurang-kurangnya saya dimaklumkan terlebih dahulu. Apa lagi kalau dalam kalangan pegawai di pejabat saya, pejabat Timbalan Perdana Menteri (dan) pejabat Menteri," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Putra, hari ini.
Yang turut hadir Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pada masa sama, Anwar berkata, langkah pertama diambilnya apabila menjadi Perdana Menteri ialah dengan mengarah semua Menterinya melantik Ketua Setiausaha Sulit dan Setiausaha Sulit Kanan dalam kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), berbeza dengan amalan sebelum ini.
Beliau berkata, ia supaya akan ada penyelarasan yang baik.
"Tapi saya nak tekankan ia hanya berhasil kalau ada kerjasama penuh daripada rakan-rakan (Menteri)," katanya.
Jangan amal budaya selesa, tekad laksana perubahan untuk negara
Perdana Menteri turut mengingatkan anggota perkhidmatan awam untuk tidak mengamalkan budaya selesa dalam sebarang urusan dan pentadbiran negara.
Sebaliknya mereka perlu mempunyai keinginan dan berhasrat untuk membawa perubahan kepada sistem pentadbiran dan urusan, tanpa mengetepikan kekuatannya.
Beliau berkata, budaya selesa apabila sudah memegang sebarang jawatan utama, baik sebagai menteri mahupun sebagai pegawai kanan kerajaan perlu diubah.
"Budaya yang selesa, ...dah jadi menteri atau dah jadi Perdana Menteri, dah jadi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) misalnya... Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP). Saya sebut jawatan yang belum diisi jadi senang. Esok bila dah lantik sebut jadi sensitif pula.
"Jadi sudah mantap, sistem yang sudah bergerak selama puluhan tahun tapi harus ada kesediaan, 'humility' untuk mengiktiraf ada kekuatannya tetapi apabila kita letak tokoh baharu harus ada hasrat untuk membawa perubahan," katanya.
Anwar berkata, keinginan untuk melakukan perubahan itu wujud dalam semua agama termasuk Islam.
Beliau berkata, Rasulullah SAW sendiri adalah tokoh yang melakukan transformasi dalam pentadbirannya.
Justeru, Perdana Menteri berkata, adalah tidak benar untuk anggota pentadbirannya menyatakan perlu ada budaya selesa yang memberi kesan negatif kepada mereka.
Beliau berkata, apa yang dipelajari dalam tempoh singkat ini, jika ada pendekatan yang lunak (penyelesaian secara berdiplomasi) tindakan yang diambil akan mendapat sokongan ramai menteri biarpun mereka datang daripada parti atau gabungan politik berbeza-beza.
Apa yang penting, katanya, semua pemimpin perlu menerima kekuatan, mengakui kelemahan serta bertekad untuk memastikan politik negara stabil serta negara mempunyai hala tuju yang jelas.
Langkah sedemikian ada yang sudah diumumkan oleh KSN manakala sebahagian lagi dikongsikannya dengan rakan dalam pentadbirannya termasuk kecekapan dalam menyelesaikan masalah rakyat.
Mengambil contoh tindakan Jabatan Imigresen baru-baru ini dalam isu pekerja asing, Anwar berkata, Kerajaan sebelum ini menggesa supaya ia diselesaikan ekoran kekurangan tenaga kerja dalam industri seperti perladangan, pembuatan dan bidang tertentu sehingga ia menjejaskan kadar pertumbuhan negara.
"Saya lihat Jabatan Imigresen menyambut begitu baik," katanya.