ALOR SETAR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli didakwa menghina pengundi apabila melabel mereka 'tidak bijak memilih' sehingga memberi kemenangan besar kepada Perikatan Nasional (PN) di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu boleh dikatakan seperti menuduh pengundi PN terlalu naif kerana teruja dengan sentimen perkauman dan wang rasuah pilihan raya.
"Apa yang disebut Rafizi ini seumpama menuduh pengundi terlalu naif dan secara terang dia menghina pengundi.
"PAS memang 'parti tin Milo', bukan seperti mereka yang ditaja oleh tauke-tauke besar, hingga ke sana sini berkempen mampu naik helikopter, calon Presiden Amerika Syarikat adalah contoh manusia atas planet ini yang ada kemampuan seperti itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah, berkata raja politik wang yang mana Rafizi sendiri sering ulang sebut dalam ceramahnya sebelum ini, kini sedang 'bersekedudukan' dengan mereka.
"Bagi Menteri Ekonomi itu, dia dan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah salah, sempurna dan sentiasa benar dalam semua hal.
"Ironinya, kebencian pengundi kepada formula sampah yang tidak pernah berjaya, ucapan bernada bongkak, memandang rendah orang lain, perasan bijak, membina persepsi dengan menipu, menghina dan mencela dalam bahasa baku telah mendorong pengundi memberikan mereka pengajaran pada PRU15," katanya.
Muhammad Sanusi berkata, 'tsunami hijau orang Melayu' pada PRU15 akan terus membesar sehari demi sehari setiap kali Rafizi membuka mulut.
"Orang ramai sudah tahu prestasi sebenar beliau di sebalik ucapan kempen PRU15 yang kini memakan diri sendiri. Saya sebetulnya sangat berharap dia terus bercakap seperti itu.
"Kalau dia anggap dia sangat bijak, dia juga perlu sedar orang lain juga tidak bodoh. Sekarang ini tahun 2023, pengundi tidak lagi bergantung kepada 'cakap kosong berstatistik' dan retorik," jelas beliau.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, sekarang zaman orang menilai kerja dan prestasi dan prestasi PH sudah dilihat selama 22 bulan selepas PRU14, manakala prestasi Barisan Nasional (BN) pula seluruh rakyat sudah sedia maklum.
"Jika telur dan ayam pun mereka gagal uruskan, apatah lagi harga minyak yang sentiasa dijanjikan akan diturunkan tetapi tak turun-turun.
"Rafizi akan jadi punca utama PH dan BN dihukum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan PRU16 nanti," dakwanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan dakwaan Mohd Rafizi bahawa PH membuktikan bahawa ekonomi rakyat menjadi lebih baik dan kuasa orang Melayu tidak terhakis bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Mohd Rafizi berkata, dua faktor itu perlu diberi penekanan kerana ianya adalah sentimen utama yang dimainkan PN pada PRU15 lalu.
Dakwanya, faktor utama kemenangan besar PN pada PRU15 disebabkan sentimen perkauman yang disebarkan secara meluas selain perbelanjaan tinggi sepanjang tempoh berkempen.