PUTRAJAYA: Program Pemukiman anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan semalam, antara lain bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan serta kesepaduan kalangan anggota Kabinet.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan, berkata program itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 27 anggota Jemaah Menteri dan 10 pegawai kanan kerajaan diadakan di Kompleks Seri Perdana di sini.
"Program dilaksanakan bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.
"Selaras dengan hasrat Perdana Menteri dalam menterjemahkan agenda islah dan reformasi dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, program permukiman ini diisi dengan sesi taklimat khas mencakupi aspek penting ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan serta pengukuhan tata kelola atau tadbir urus jentera kerajaan.
"Aspek ini merangkumi struktur kerajaan dan hal ehwal pentadbiran awam, pengurusan kewangan dan perolehan kerajaan.
"Persidangan antarabangsa dan kepentingan negara, protokol kerajaan dan profesionalisme, pembangunan lestari, senario ekonomi dan cabaran serta taklimat berkaitan komunikasi media," katanya di sini hari ini.
Katanya, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, turut menyampaikan taklimat pelaksanaan petunjuk prestasi utama (KPI) anggota Jemaah Menteri ketika sesi permukiman itu.
Difahamkan, sesi pemukiman terbabit bermula jam 8.30 pagi semalam dan berakhir jam 4.30 petang.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan pemukiman terbabit bagi membincangkan hala tuju Kerajaan Perpaduan.
"Selain berbincang mengenai hala tuju, keberadaan kami juga berkait rapat dengan penetapan KPI untuk setiap kementerian," katanya.