Sabtu, 14 Januari 2023 | 8:50pm
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - BERNAMA
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - BERNAMA

Hanya kepemimpinan baharu mampu bantu parti tarik sokongan rakyat - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan hanya kepemimpinan baharu UMNO mampu memastikan parti itu dapat menarik sokongan rakyat, khususnya golongan muda.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, barisan pemimpin baharu mampu mengemukakan tawaran baharu yang menarik untuk golongan muda.

Tegasnya, sokongan baharu daripada golongan muda penting dan UMNO berisiko berdepan masa depan yang gelap jika gagal menarik sokongan kumpulan berkenaan.

"Hari ini saya mengadakan perjumpaan khas bersama-sama UMNO Siswa dan Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

"Masa depan UMNO bergantung kepada sokongan golongan muda… tanpa sokongan mereka, gelaplah masa depan UMNO.

"Hanya UMNO berwajah baharu berserta tawaran baharu mampu menarik golongan muda menyokong UMNO," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Terdahulu, PAU 2022 meluluskan lapan usul termasuk satu usul tambahan iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang masing-masing disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Semua usul itu diluluskan selepas majoriti perwakilan bangun dan mengangkat tangan bagi menyokong usul berkenaan dalam sesi undian yang dikendalikan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Terdahulu dalam sidang media di WTC, Ismail Sabri bimbang dengan kelulusan usul tambahan itu yang dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap usaha untuk memulihkan keyakinan generasi muda serta orang Melayu terhadap parti.

Beliau juga berpandangan usul itu bertentangan dengan Perlembagaan UMNO, yang menetapkan semua jawatan dalam parti itu hendaklah dipilih setiap tiga tahun sekali.

Selain itu, katanya, ahli akar umbi dan pemimpin yang tidak jelas dan mahu mendapatkan kepastian dari sudut perundangan mengenai usul tambahan itu boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Berita Harian X