Sabtu, 14 Januari 2023 | 6:18pm

Kumpulan 'boo' dibayar RM300 dakwa Jamal

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa kumpulan perwakilan berteriak 'boo' ketika ucapan usul tambahan berkaitan jawatan penting parti di Perhimpunan Agung UMNO 2022 semalam, dibayar RM300.

Beliau mendakwa mengetahui perkara itu selepas bertemu sendiri dengan wakil perwakilan sebaik perhimpunan ditangguhkan petang semalam.

Menurutnya, kumpulan perwakilan itu mengakui diupah bertujuan menghuru-harakan perhimpunan dan memastikan jawatan Presiden dipertandingkan.

"Memang saya tak nampak ada orang bayar tapi pengakuan mereka selepas saya jumpa mereka. Sampai RM300 seorang dibayar, saya ingatkan RM50 saja rupanya nilainya lagi mahal.

"Lagi kuat suara mereka 'boo' lagi banyak dapat bayaran, itu yang dimaklumkan," katanya dalam sidang media di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Jamal berkata, beliau akan membuat laporan polis dan laporan kepada Lembaga Disiplin parti untuk tindakan lanjut.

Semalam, Perhimpunan Agung UMNO hangat apabila perwakilan Negeri Sembilan mencadangkan usul tambahan, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Cadangan usul itu dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau Mohd Shukri Shamsudin pada ucapannya sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden.

Usul itu kemudiannya disokong oleh perwakilan Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Usul yang dikemukakan itu mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan yang mana ada suara teriakan 'boo' dan ada juga yang bertepuk tangan di Dewan Merdeka WTCKL.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (kiri) bersama Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri pada sidang media di Perhimpunan Agung UMNO 2022. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (kiri) bersama Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri pada sidang media di Perhimpunan Agung UMNO 2022. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Berita Harian X