KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengadakan sesi permukiman bersama barisan Jemaah Menteri, esok.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata sesi permukiman yang berlangsung di lokasi dirahsiakan itu antara lain bagi membincangkan soal hala tuju dan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap kementerian.
"Permukiman itu diadakan tepat pada masanya kerana dalam tempoh beberapa bulan ini, menteri-menteri sudah mengenali serta mempunyai kefahaman terhadap kementerian mereka, dan ia penting untuk hala tuju Kerajaan Perpaduan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina Parlimen Lembah Pantai, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, satu program permukiman akan diadakan, khusus membabitkan Jemaah Menteri, bagi menetapkan KPI setiap kementerian
Perdana Menteri dipetik berkata, program itu bertujuan mendapatkan input daripada menteri selepas lebih sebulan memikul tanggungjawab, dan mengemukakan perkara yang boleh dilakukan atau diperbaiki.
Sementara itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata, gabungan politik berkenaan memberi keutamaan kepada pembentukan sikap serta dasar bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Beliau berkata, perjanjian persefahaman kerjasama parti dalam kerajaan Persekutuan boleh memberi gambaran dan bayangan modus operandi dalam mewujudkan hubungan antara parti-parti yang membentuk kerajaan peringkat negeri.
"Kita sudah menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Perak dan Pahang, namun di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor serta Melaka belum ada.
"Justeru, saya percaya ritma pada peringkat persekutuan ini dengan perbincangan akan diteruskan pada peringkat negeri," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan berhubung kerjasama politik pada peringkat negeri itu akan diputuskan Majlis Presiden PH.
Mengenai strategi menghadapi PRN di enam negeri terbabit pula, Fahmi berkata, langkah berbeza pastinya akan diambil antara negeri yang ditadbir parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan negeri bawah pembangkang.
Enam negeri bakal terbabit PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – BERNAMA