KUALA LUMPUR: Desakan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan adalah hasutan 'orang luar' yang mahu melihat UMNO hancur.
Perkara itu disuarakan Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, yang mengakui sedih melihat perbalahan dalaman parti dan tindakan pihak tertentu yang seakan ingin menjatuhkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden parti.
"Veteran berpandangan jawatan penting pada waktu ini tidak perlu dipertandingkan.
"Saya tak mahu kita ini dipergunakan oleh 'orang luar'. Presiden kita ini tidak disukai orang luar yang bersungguh-sungguh nak menghancurkannya.
"Orang luar ini menggunakan orang dalam UMNO untuk mengalahkan Zahid. Jangan biarkan diri kita diperalatkan, tolonglah," katanya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC, di sini, hari ini.
Berucap mewakili Veteran UMNO ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO, Mustapha dilihat menahan sebak sehingga terpaksa berhenti berucap seketika sebelum meneruskan ucapannya.
Beliau menekankan kepentingan menghormati kerusi presiden tanpa mengira siapa penyandangnya demi keharmonian dan kekuatan parti.
"Dalam satu bahtera yang besar ada nakhoda yang mengemudi bahtera itu. Tapi jika nakhoda kita campak ke dalam laut dengan kita sekali tenggelam.
"Oleh itu, wahai orang UMNO yang saya hormati dan kasihi, kita terima apa berlaku apabila kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tetapi percayalah UMNO tidak akan mati.
"Walau saya sedikit emosi, tetapi saya yakin semua perwakilan mempunyai satu tekad bahawa UMNO satu-satunya wadah perjuangan kerana UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO.
"Maka kita akan pertahankan Umno ini sehingga titisan darah terakhir," katanya.
Sementara itu, Mustapha berkata, Veteran UMNO menyokong cadangan penubuhan Majlis Ulama UMNO dan perlu dianggotai oleh ilmuwan Islam serta pakar berkaitan bukannya daripada jawatan politik parti.