Sabtu, 14 Januari 2023 | 1:06pm

PRN enam negeri pada Mac atau Ogos

KUALA TERENGGANU: PAS membayangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka akan diadakan pada Mac atau Ogos depan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ada beberapa cadangan tarikh sudah dibuat, tetapi belum diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti itu.

"PAS sudah membuat beberapa cadangan tarikh yang sesuai untuk mengadakan PRN, tetapi perkara itu akan dirundingkan bersama gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN).

"Selepas diputuskan di peringkat parti (PAS) ia akan dibawa ke peringkat PN untuk diputuskan, itu baru muktamad. Ada beberapa cadangan yang sudah di buat, keputusan akhir belum ada lagi tetapi paling awal bulan Mac, paling lewat bulan Ogos," katanya ditemui pada Program Pelancaran dan Penyerahan Sumbangan Perasmian Pusat Islam Arsal, Lubnan, di sini, malam tadi.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, waktu terakhir untuk enam negeri mengadakan PRN adalah pada Ogos.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto NSTP/Zaid Salim
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto NSTP/Zaid Salim

Katanya, tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pulau Pinang akan terbubar dengan sendirinya pada 1 Ogos memandangkan negeri itu paling lewat mengadakan sidang DUN selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Bagi negeri lain seperti Kedah pada 3 Julai dan ada negeri lebih awal (terbubar DUN) iaitu akhir Jun.

"Jadi kesimpulan daripada enam negeri yang belum mengadakan PRU-15 peringkat negeri selepas PRU-14 akan terbubar dengan sendirinya paling lewat bulan Ogos dan paling awal bulan Jun," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yakin berdasarkan kemenangan luar biasa pada PRU-15 peringkat Parlimen November tahun lalu, PAS mampu mengulangi kejayaan itu pada PRN.

"Di Pulau Pinang kita akan tambah kerusi lebih banyak walaupun tidak dapat bentuk kerajaan, tetapi hampir-hampir dapat.

"Di Kedah kita akan menang 33 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan, manakala Kelantan dan Terengganu kita sapu bersih," katanya.

PAS membayangkan PRN bagi Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka akan diadakan pada Mac atau Ogos depan. - Foto hiasan
PAS membayangkan PRN bagi Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka akan diadakan pada Mac atau Ogos depan. - Foto hiasan
Berita Harian X