KUALA LUMPUR: Di sebalik kesibukan atur cara Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sempat mencuri masa menyantuni pengamal media yang membuat liputan persidangan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, sebentar tadi.
Presiden UMNO meluangkan masa kira-kira 20 minit mengunjungi hampir semua meja menempatkan pengamal media daripada pelbagai agensi di Laman Media disediakan, sambil beramah mesra dan bertanya khabar.
Malah, Ahmad Zahid turut berkesempatan meraikan beberapa pengamal media yang menyambut kelahiran pada bulan ini termasuk beliau sendiri yang lahir pada 4 Januari.
Peluang itu juga dimanfaatkan petugas media untuk 'berselfie' bersama Timbalan Perdana Menteri itu.
Terdahulu, beberapa pemimpin tertinggi parti termasuk ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil turut meluangkan masa melawat Laman Media.
Seperti kelaziman, Laman Media UMNO dilengkapi ciri-ciri mesra pengamal media seperti WiFi, ruang kerja yang luas selain ciri-ciri keselamatan yang ketat.
Seramai 603 petugas daripada 77 agensi media cetak dan elektronik tempatan serta antarabangsa membuat liputan sepanjang perhimpunan bermula Rabu lalu dan berakahir hari ini.