SITIAWAN: Lebih 25,000 penduduk di sebuah taman perumahan di sini, terpaksa berdepan gangguan lalat sejak setahun lalu berpunca daripada ladang ternakan ayam yang gagal menguruskan sistem kebersihan secara berkesan.
Wakil penduduk perumahan itu, Mohamad Azam Abdul Rani, 48, mendakwa ramai pembeli di situ berasa tertipu kerana pihak pemaju tidak memaklumkan mengenai hal berkenaan sebelum pembelian rumah dibuat.
"Hanya ketika hari mengambil kunci, pemaju beritahu di sini ada masalah lalat.
"Sejak 16 Mac tahun lalu, terdapat 1,260 unit rumah dan separuh daripadanya sudah dihuni. Ia ditambah lagi 10,000 unit rumah di kawasan perumahan baharu yang terletak di sebelah perumahan kami.
"Perkara ini kerap kali kami adukan kepada pihak pengurusan perumahan, namun masih belum ada tindakan.
"Usaha yang kami mampu buat setakat ini cuma menggunakan gam lalat dan penyembur racun, tapi ia pastinya akan beri kesan kesihatan kepada kami dalam jangka masa panjang," katanya.
Rozita Murad, 61, berkata dia bersama cucunya baru saja dimasukkan ke hospital pada 4 Januari lalu dan disahkan mengalami keracunan makanan.
"Apa lagi yang patut kami buat, belum pun makan lalat sudah hinggap pada tudung saji.
"Waktu solat pula, lalat ini masuk ke dalam kain telekung dan ia mengganggu. Tidur pun tidak lena kerana serangga ini akan masuk ke celah-celah rambut, telinga dan hinggap di muka kami," kata pesara guru itu.
Seorang lagi penduduk, Masitah Zulkafli, 38, berkata dia berasa runsing kerana kehadiran lalat yang terlalu banyak di dalam rumahnya.
"Atas lantai penuh dengan serangga ini saja. Walaupun saya sapu, tak sampai seminit akan datang lagi hinggap di situ.
"Saya terpaksa cuci jeriji besi di pintu rumah beberapa kali sehari kerana kesan tompokan yang ditinggalkan oleh lalat yang boleh memberi mudarat kepada keluarga saya," kata ibu kepada lima orang anak itu.
Susulan itu, penduduk berharap pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dapat mengambil tindakan sewajarnya.
Media sebelum ini pernah melaporkan beberapa kawasan lain di daerah Manjung seperti Lumut, Pengkalan Baharu, Beruas dan Lekir menghadapi masalah serupa sejak 30 tahun lalu.