Jumaat, 13 Januari 2023 | 10:53pm
Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek, ditemui media ketika lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan Keledang Jaya, Changkat, hari ini. NSTP/DANIAL SAAD
Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek, ditemui media ketika lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan Keledang Jaya, Changkat, hari ini. NSTP/DANIAL SAAD

Perubahan dasar KPM akan dibuat melalui proses perundingan, musyawarah - Fadhlina

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) komited mempertingkatkan kualiti guru bagi memastikan kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPM) yang akan berakhir pada 2025, .

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya akan memberi perhatian kepada tujuh teras utama termasuk menjaga dan meningkatkan kualiti guru serta potensi dan karakter pelajar.

Beliau berkata, pendidikan karakter murid harus diberi perhatian kerana soal pendidikan tidak tertumpu kepada soal akademik semata-mata.

"Pendidikan harus secara holistik merangkumi jasmani, intelektual dan sebagainya," katanya ketika menjadi tetamu program Naratif di RTM malam ini.

Fadhlina meluangkan masa kira-kira satu jam bersama RTM untuk membincangkan topik mendepani cabaran sektor pendidikan.

Fadhlina berkata, beliau juga akan memastikan keseluruhan ekosistem pendidikan dilaksanakan mengikut proses ditetapkan dan berlandaskan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan-peraturan berkaitan.

Selaku Menteri Pendidikan, beliau mahu melihat murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera, yang akan menjadi keutamaan KPM.

Selain itu, Fadhlina menegaskan, intervensi untuk generasi yang hilang atau lost generation turut diberi keutamaan dengan mengajak semua pihak berkepentingan untuk berkongsi data kajian mereka berkenaan isu tersebut.

"Intervensi 'lost generation' adalah satu proses unjuran berkaitan data berlaku di peringkat KPM dan saluran ketiga iaitu pihak lain termasuk NGO serta aktivis," katanya.

Fadhlina berjanji akan memastikan tiada murid atau guru yang akan tercicir di bawah kementerian yang diterajuinya.

Beliau turut memberi jaminan dasar pendidikan sedia ada termasuk Transformasi Pendidikan oleh pentadbiran sebelum ini akan diteruskan, disertai dengan penambahbaikan proses penyampaian demi menjamin kecekapan dan keberkesanannya.

"Saya dapati ada beberapa penambahbaikan daripada aspek proses penyampaian dan perkhidmatan pendidikan yang perlu dilaksanakan.

"Aspirasi KPM sudah cukup jelas, oleh itu setiap perkara yang hendak diputuskan perlu diteliti dan dikaji secara berhemah dan budaya ini akan terus dibawa oleh KPM," katanya.

Beliau menjelaskan segala penambahbaikan membabitkan silibus pendidikan, tidak dilakukan secara sembrono, sebaliknya akan melalui proses konsultasi dan musyawarah dengan rakan strategik serta semua pihak berkepentingan.

Ditanya mengenai takwim persekolahan, Fadhlina berkata, takwim persekolahan yang berubah akibat pandemik COVID-19, akan kembali kepada takwin yang asal.

"Namun, ada beberapa perkara perlu diteliti seperti kebajikan guru dan murid harus melalui satu kitaran persekolahan sebanyak 190 hari mengikut Akta Pendidikan.

"Faktor lain seperti peperiksaan, ekonomi negara yang akan beri impak kepada proses pendidikan juga akan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang perubahan dibuat," katanya.

Selain itu, Fadhlina turut menyentuh mengenai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lazimnya diadakan pada hujung tahun, iaitu waktu musim tengkujuh yang mendatangkan kesan kepada pelajar.

"Justifikasi harus dilihat semula sebelum kembali pada takwin asal termasuk faktor peperiksaan SPM yang bertembung dengan musim banjir," katanya.

Berita Harian X