KUALA LUMPUR: Pakej umrah pada harga RM7,890 dengan kemudahan penginapan pada jarak kira-kira 300 meter, disaran sebagai rujukan oleh orang ramai dalam membuat pilihan, bersesuaian dengan kemampuan mereka.
Kadar itu dipersetujui hasil perbincangan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH).
Dalam kenyataan bersama, tiga persatuan itu berkata, mereka memandang serius isu kenaikan harga pakej umrah yang disebarkan menerusi media massa dan sosial.
Katanya, kenaikan harga ini didapati agak tinggi disebabkan berlakunya kenaikan harga penginapan dan tiket penerbangan, sewa hotel, pengangkutan, tambang kapal terbang dan faktor-faktor di luar kawalan.
"Selepas mengambil semua aspek, persatuan berpendapat bahawa kos yang wajar dijadikan sebagai rujukan ialah pada harga RM7,890 dengan penginapan pada jarak lebih kurang 300 meter.
"Harga ini boleh dijadikan sebagai rujukan oleh orang ramai dalam membuat pilihan pakej umrah yang bersesuaian dengan kemampuan. Harga pakej berkemungkinan lebih tinggi atau rendah bergantung kepada lokasi hotel, tempoh tempahan, musim perayaan dan sebagainya," kata persatuan itu.
"Jemaah umrah juga dinasihatkan supaya membuat pengesahan awal terhadap pakej yang ditawarkan pengusaha pelancongan dan memastikan syarikat tersebut adalah pengendali umrah berlesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)," katanya.
Senarai syarikat pelancongan umrah berlesen ini boleh disemak menerusi laman web rasmi MOTAC di https://www.motac.gov.my/semakan/umrah.