KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bercadang untuk membawa pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) ke Parlimen bagi mengekang isu kebocoran data pengguna.
Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya sedang meneliti untuk membawa memorandum Jemaah Menteri berkaitan perkara itu dan berharap ia dapat diselesaikan tahun ini.
Pada masa sama, Cyber Security Malaysia (CSM) juga berperanan penting dalam menangani isu itu berikutan memiliki kepakaran dalam bidang forensik digital bagi mengenal pasti masalah keselamatan siber yang dihadapi.
"Kalau undang-undang dapat diperkukuh dan aspek keselamatan dipertingkatkan, saya percaya, banyak daripada masalah kebocoran itu dapat diatasi," katanya pada sidang media selepas bertemu warga KKD di Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan, di sini.
Fahmi berkata, pengguna data, sama ada syarikat besar atau kecil juga harus memastikan keselamatan data rakyat.
Beliau berkata, data rakyat boleh dianggap sebagai khazanah negara dan jika dijaga dengan baik, ia mampu mengurangkan insiden kebocoran data, sekali gus memberi keyakinan kepada ekosistem ekonomi digital negara.
Dalam perkembangan lain, beliau menjangkakan negara mengalami proses satu dekad keemasan 10 tahun lagi, yang teknologi digital bukan hanya memberi akses semata-mata, sebaliknya dapat memacu ekonomi.
"Sejak menggalas tanggungjawab pada 3 Disember lalu, saya mula faham selepas menerima taklimat penuh daripada semua agensi dan jabatan di bawah KKD.
"Secara realiti, beberapa tempat memang bermasalah dari segi jaringan Internet, namun secara keseluruhan, kita mempunyai agensi dan jabatan yang cukup bagi membantu merangka dasar dalam usaha menuju dekad keemasan untuk negara berasaskan ekonomi digital," katanya.