BEHRANG: Seorang penuntut wanita maut selepas kereta yang pandunya dipercayai terbabas dan melanggar pokok di susur keluar Plaza Tol Behrang Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat sini.
Dalam kejadian terbabit, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), M Yoogavani, 20, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat lagi rakannya, cedera dalam kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.55 petang tadi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, semua mangsa wanita itu dalam perjalanan dari Batu Gajah, Perak ke universiti terbabit di Tanjung Malim.
"Kereta jenis Honda City yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar pokok.
"Akibat kemalangan itu, pemandu kenderaan terbabit, M Yoogavani, meninggal dunia di tempat kejadian. Empat penumpang semuanya berusia 20 tahun, cedera dan dihantar ke Hospital Slim River (HSR)," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa, yang berasal dari Sungai Jawi, Pulau Pinang turut dihantar ke HSR untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.