KUALA LUMPUR: UMNO Sabah menyerahkan kepada pimpinan parti untuk menentukan kedudukan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, yang menyertai kerajaan diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Ia selepas UMNO hari ini sebulat suara meluluskan usul pindaan Perlembagaan partinya, yang mana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyertai pakatan lain di mana UMNO tiada dalam pakatan itu, akan gugur keahliannya secara automatik.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, menyifatkan tindakan lima ADUN itu untuk tidak bersama UMNO Sabah yang menarik sokongan kepada Hajiji sebelum ini sebagai di luar jangka.
"Ia (kedudukan ADUN) akan ditentukan oleh parti...apa yang boleh parti lakukan untuk kelima-lima yang bertindak di luar jangka itu. Ada proses tertentu yang kita perlu ikuti," katanya ketika ditemui media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, di sini, hari ini.
Fasal baharu perlembagaan UMNO yang baru diluluskan pada PAU khas hari ini iaitu fasal 20.11.1, antara lain menyebut, keanggotaan tergugur secara automatik jika ahli UMNO itu sudah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO atau memilih untuk menjadi ahli Dewan Rakyat atau DUN bebas.
Isu berkaitan UMNO Sabah timbul selepas lima daripada 18 ADUN UMNO negeri itu tidak bersetuju dengan keputusan UMNO negeri menarik sokongan terhadap Hajiji dan kerajaan negeri seperti diumumkan Bung Moktar, Jumaat lalu.
Usaha untuk menukar kerajaan negeri itu gagal disebabkan pendirian lima ADUN terbabit, sekali gus menyebabkan tiga ADUN UMNO dalam kumpulan Bung Moktar, termasuk beliau sendiri hilang jawatan menteri dalam Kabinet negeri.
Kemelut itu menyaksikan dua daripada lima ADUN UMNO yang menyokong Hajiji 'naik pangkat' dalam rombakan Kabinet negeri yang diumumkan Hajiji semalam.
Mereka ialah ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, menggantikan portfolio Bung Moktar sebelum ini sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah.
ADUN Sugut, Datuk James Ratib, pula naik pangkat daripada Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
UMNO Sabah bagaimanapun menyatakan tidak mengiktiraf pelantikan kedua-dua mereka kerana tiada sebarang cadangan dikeluarkan parti untuk memilih mereka.
Sementara itu, Bung Mokhtar berkata, UMNO memang selalu berhadapan dengan cabaran, selain yakin kemelut politik di negeri itu dapat diselesaikan.
"Saya meminta ahli UMNO di Sabah supaya kita ikut keputusan parti iaitu mendengar apa juga yang sudah dinyatakan Presiden parti untuk kita bertenang sebab beberapa persoalan itu akan ada jawapannya.
"Krisis politik memang tak boleh selesai walaupun di Sabah ini sudah tenang. Pergolakannya masih belum selesai sebab pembentukan kerajaan di peringkat awal adakah dari UMNO dan PN (Perikatan Nasional), ini juga menjadi satu persoalan. Tak mengapalah, orang main politik, kita pun main politik," katanya.
Bung Mokhtar juga menangkis dakwaan kononnya UMNO Sabah berniat mahu menggulingkan kerajaan dipimpin Hajiji.
"Guling ini berniat jahat. Tujuan kita ini mahu perbetulkan hala tuju politik supaya rakyat dan Sabah menjadi sebuah negeri yang mampu untuk dibangunkan.
"Guling ini bermakna membinasakan.. ada definisi berbeza. Kita bukan mahu mengguling, kita mahu menentukan supaya rakyat sabah mendapat tempat yang sebenarnya oleh pemerintah ketika ini," katanya.