KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan bahawa beliau bertindak sendirian dalam pemilihan calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, Presiden UMNO itu menegaskan proses pemilihan calon untuk mewakili parti membabitkan rundingan di peringkat 'top five' atau lima kepemimpinan tertinggi, selain Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan perhubungan negeri melalui bartisan pengerusinya.
Mengulas lanjut, katanya, tidak adil tuduhan dilemparkan kononnya dalam soal pemilihan calon, Presiden didakwa sebagai bertindak bersendirian.
"Daripada 119 calon UMNO, hanya enam saja yang bertukar di saat akhir, atas beberapa pertimbangan.
"Bakinya 113 adalah hasil rundingan dengan Pengerusi Perhubungan negeri bersama 'Top Five' (lima kepemimpinan tertinggi)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid menjelaskan proses pemilihan calon untuk PRU-15 juga membabitkan Perhubungan UMNO di peringkat negeri melalui barisan Pengerusinya.
Selepas itu, katanya, rundingan dalaman dilakukan baik di peringkat 'Top Five', Biro Politik mahupun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sentiasa berjalan.
"Semua proses ini memperlihatkan keputusan yang membabitkan soal pilihan raya telah melalui proses rundingan," katanya.
Beliau pada masa sama mengajukan soalan kepada semua perwakilan sama ada tindakan pemilihan calon yang melalui semua struktur parti itu adalah usaha bagi mengecilkan peluang kemenangan?
"Apakah dengan menampilkan muka-muka baharu, sebagai satu proses pembaharuan dalaman parti juga, satu langkah mengecilkan peluang kemenangan?
"Atau apakah mengurangkan persepsi UMNO adalah parti warlord, juga boleh ditafsir sebagai langkah mengecilkan peluang kemenangan parti?" katanya.
Beliau menegaskan dalam PRU-15 bukan hanya calon muka baharu yang tewas, muka lama dengan nama besar juga tewas.
"Saya sendiri ditentang oleh tokoh PKR di Bagan Datuk. Apakah ini bermakna, saya ada perjanjian sulit dengan Pakatan Harapan?
"Apakah saya sendiri mahu mengecilkan peluang kemenangan saya di Bagan Datuk? Saya kira dengan iman yang ada, tepuk dada tanya iman," katanya.
Beliau menjelaskan di peringkat 'Top Five', Biro Politik mahupun MKT, semuanya berkongsi pandangan bahawa tiada satu parti yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.
"Maka dengan sebab itu, rundingan dengan pihak luar perlu diadakan," katanya .
Berhubung penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelaskan ia juga dibuat secara bersama pimpinan parti.
"Mereka yang berada dalam kerangka kepemimpinan parti mengetahui dan menyedari bagaimana keputusan ini dicapai.
"Walaupun sudah ada aku janji, memberikan kuasa kepada Ketua Utama Parti, untuk merundingi soal penubuhan kerajaan, kita tetap membuat keputusan bersandarkan semangat musyawarah sesama kita.
"Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi sudah membuat keputusan, berdasarkan kaedah mempertimbangkan mudarat kecil dan mudarat besar kepada parti. Malah kita juga turut membuat pertimbangan berasaskan prinsip demokrasi.
"Pakatan Harapan (PH) mempunyai jumlah kerusi terbanyak iaitu 82 berbanding 73 yang dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN). Rakyat memberikan mandat lebih besar kepada PH dan atas semangat demokrasi, kita memilih jumlah majoriti yang lebih besar," katanya.
Ahmad Zahid berkata, pendirian UMNO juga selaras dengan perakuan yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong, untuk menerima titah usulan baginda, supaya diwujudkan Kerajaan Perpaduan.
"Pada masa yang sama PH juga bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya PN menolak titah berkenaan," katanya.
Beliau berkata, apabila persetujuan itu dicapai, muncul pula suara dalaman dengan hujah, bukankah UMNO sudah membuat keputusan dalam PAU mengenai 'No Anwar, No DAP'.
"Namun kelompok yang bersuara ini, tidak pula menyebut PAU juga membuat keputusan dan ketetapan 'No BERSATU'.
"Dibangkitkan lagi tuduhan kita melanggar keputusan Perhimpunan Agung yang sudah menyatakan No Anwar, No DAP," katanya.