Jumaat, 13 Januari 2023 | 12:42pm

Tubuh jawatankuasa khas siasat kecurangan di Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan Perdana Menteri bertujuan mengumpul dan mengkaji setiap kecurangan yang dianggap berlaku secara keterlaluan di Kementerian Kewangan, sebelum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk menyiasat.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata ia kerana mengikut kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim, skala salah laku di kementerian itu adalah terlalu banyak.

Katanya, dengan kekangan pegawai dan jumlah kes rasuah yang meningkat juga menyukarkan untuk SPRM menyemak dengan terperinci setiap perancangan, peruntukan, perolehan atau tender yang diluluskan MOF.

"Oleh demikian satu jawatankuasa khas perlu ditubuhan untuk membuat dapatan apa yang sedang terjadi dalam MOF dan mencari langkah untuk ketirisan ini dihentikan.

"Untuk SPRM 'menyerbu' keseluruhan MOF, ia sudah tentu amat sukar kerana kementerian ini besar dan tindakan sedemikian seperti 'mencari jarum di padang rumput' sahaja.

"Tetapi sekiranya wujud jawatankuasa khas itu, pegawai-pegawai kanan MOF sendiri boleh betulkan kesilapan yang sudah berlaku. Sekiranya tangkapan tidak dibuat pun ia menutup ruang ketirisan yang berlaku," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, beliau mengesan banyak kecurangan yang dianggapnya keterlaluan di Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, berkata kecurangan itu dilihatnya ketika menyemak fail-fail di kementerian berkenaan.

"Namun urusan untuk menyiasat bukan urusan saya. Urusan saya adalah menetapkan dasar dan menegakkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban," katanya.

Mengulas lanjut, Jais berkata, penjawat awam di MOF perlu mengambil peluang terhadap kenyataan Anwar dengan melaporkan salah laku yang diketahui dilakukan oleh rakan sekerja mereka.

"Inilah masa untuk hadir ke SPRM dan membuat laporan kerana anda pastinya tahu kegiatan yang dilakukan rakan sejawat anda. Tidak perlu risau kerana setiap daripada anda akan dilindungi mengikut Akta Pemberi Maklumat," katanya.

Katanya, dalam kes itu, SPRM sebenarnya sudah mengetahui apa yang sudah terjadi dan kemungkinan ada kes yang sudah dibuka kertas siasatan tetapi belum sesuai untuk dihebohkan kepada masyarakat.

"SPRM mempunyai pegawai-pegawai mereka yang diletakkan di bahagian integriti dan pastinya mereka itu melaporkan kepada SPRM untuk disiasat sekiranya mengesan kecurangan seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri," katanya.

Malah Jais berkata, rakyat marhaen sendiri sudah mengetahui ketirisan yang terjadi dalam MOF terutamanya kumpulan kontraktor serta pembida tender kerajaan.

"Ia adalah rahsia umum yang diketahui oleh rakyat kerana kita sentiasa berurusan dengan pegawai kementerian itu, terutamanya kepada mereka yang ingin masuk tender, perolehan mahupun pembelian barangan. Masalah-masalah itu timbul ketika berurusan malah tidak hanya terjadi dalam MOF sahaja tetapi kementerian-kementerian lain," katanya.

Sementara itu, usaha BH menghubungi Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki bagi mengulas kenyataan Anwar, masih belum berhasil.

Berita Harian X