Jumaat, 13 Januari 2023 | 11:33am

Tidak tanding presiden, timbalan presiden bukan 'kegilaan'

JOHOR BAHRU: Cadangan tiada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO bukanlah 'kegilaan' sebaliknya ia adalah keprihatinan selain mengikut keperluan semasa.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menolak dakwaan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin, yang menyifatkan tindakan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti, sebagai suatu 'kegilaan'.

Mohd Puad turut menemplak dakwaan Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO itu berikutan majoriti perwakilan sebenarnya menyokong tiada pertandingan bagi dua jawatan utama itu.

"KJ (Khairy) dakwa menghalang pertandingan jawatan nombor satu dan dua adalah gila.

"Bukankah itu keprihatinan mengikut keperluan semasa. Mana tahu Pilihan Raya Negeri (PRN) berlaku masa pemilihan parti.

"Apakah demokrasi hanya berlaku apabila ada pertandingan. Bila majoriti perwakilan sokong tiada pertandingan, apakah itu bukan demokrasi. Kegilaan ialah bila semua hilang fokus dan 'money politic' kembali berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Khairy dilaporkan menyifatkan tindakan 140 ketua bahagian yang mahu supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding dalam pemilihan parti sebagai suatu 'kegilaan'.

Katanya, tiada sesiapa yang wajar membenarkan demokrasi dalam UMNO dimatikan.

"Hentikan kegilaan ini. Saya rasa presiden seorang pejuang yang tidak gentar menghadapi pencabar. Buka ruang pertandingan," katanya semalam.

Dalam pada itu, Mohd Puad yang juga Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat menegaskan istilah sedia untuk berlawan atau 'ready to fight' yang diucapkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, mempunyai makna lain bukan sekadar untuk pertandingan jawatan Presiden UMNO.

Katanya, ucapan Presiden UMNO ketika bertembung Khairy semalam itu tidak wajar dianggap beliau bersedia dilawan bagi jawatan Presiden parti.

"Pada KJ, itu bermakna Ahmad Zahid sedia dilawan untuk jawatan Presiden UMNO.

"Sebenarnya 'ready to fight' juga ada makna lain. Iaitu sedia melawan musuh habis habisan di PRN enam negeri nanti.

"Oleh itu, jangan timbul waktu PRU dan pemilihan parti sahaja tetapi membisu di waktu lain," katanya.

Berita Harian X