IPOH: Seramai 91 mangsa banjir dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sahom, Kampar, dekat sini, setakat jam 8 malam, meningkat berbanding 86 orang pada pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua mangsa dari Kampung Sahom itu ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom.
PPS itu dibuka semalam kira-kira jam 9 malam selepas kampung terbabit dilanda banjir kilat sehingga menjejaskan beberapa rumah, susulan hujan lebat pada sebelah petang yang menyebabkan paras air Sungai Rias naik mendadak. – BERNAMA