KOTA KINABALU: Tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, meneruskan majlis angkat sumpah Kabinet baharu negeri semalam, tidak menggambarkan kerangka Kerajaan Perpaduan.
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata tindakan Hajiji itu turut membelakangi saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan melanggar persetujuan serta kesepakatan yang dicapai.
Mohd Shafie berkata, Warisan menyokong penuh saranan dikemukakan Anwar dalam pertemuannya dengan Hajiji baru-baru ini, supaya sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk di Sabah.
"Saranan itu turut dipersetujui dan disokong UMNO serta Parti
Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang menghadiri pertemuan itu.
"Penubuhan secepat mungkin sebuah jawatankuasa khas juga ditetapkan bagi merungkai butiran berkaitan kepemimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah, bertujuan untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Hajiji mengumumkan rombakan Kabinet Negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan yang antara lain menyaksikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) tersenarai iaitu Pengerusi PH Sabah, Christina Liew (PKR) dan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe (DAP).
Mohd Shafie berkata, kemelut politik Sabah boleh diatasi jika persetujuan dan kesepakatan menubuhkan Kerajaan Perpaduan membabitkan semua parti yang menganggotai kerajaan di peringkat Persekutuan dapat dicapai.