Khamis, 12 Januari 2023 | 3:48pm

Lembaga Disiplin pantau 10 Ahli Parlimen 'sokong' Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada Lembaga Disiplin parti untuk memantau 10 Ahli Parlimen daripada gabungan itu yang dikenal pasti menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemantauan itu bertujuan untuk mengenal pastri sekiranya kumpulan 10 Ahli Parlimen terbabit terus menggerakkan langkah untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

"Oleh kerana perkara itu sudah berlalu dan kini mereka bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan, saya nyatakan bahawa saya sudah memaafkan apa yang berlaku.

"Jadi Lembaga Disiplin akan lakukan pemantauan terhadap pendirian mereka sama ada akan lakukan sebarang gerakan.

"Tetapi saya yakin mereka akan bersama dengan UMNO dan BN serta mendukung Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pavilion Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena PAU 2022 mendedahkan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sumber pemimpin UMNO berkata, Ahmad Zahid memperincikan kawasan diwakili Ahli Parlimen berkenaan tanpa menyebut nama mereka, dengan empat daripadanya dikatakan dari Johor.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid percaya tindakan diambil 10 Ahli Parlimen terbabit disebabkan situasi politik ketika itu yang tidak menentu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengajak perwakilan dan akar umbi untuk melakukan perubahan secara drastik terhadap parti dalam kadar segera.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, untuk melakukan perubahan tidak perlu dilakukan oleh pihak tertentu sekiranya ia boleh dilakukan secara bersama.

"Kita menyantuni perbezaan pendapat terutama dalam kalangan mereka yang berminat untuk bersama dengan kepimpinan parti atau melakukan 'reset' (set semula) terhadap parti.

"Reset ini boleh dilakukan secara bersama dan tidak perlu melayani perbezaan yang akhirnya akan mewujudkan kabilah yang berbeza. "Saya mempunyai pendirian dan ketika ini lebih baik bersama-sama dalam melakukan perubahan secara drastik sekiranya ada, dengan kadar segera," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas satu poster memaparkan lapan pemimpin UMNO kononnya sebagai satu kumpulan yang bakal mencabar kepimpinan Presiden pada pemilihan parti nanti.

Poster berkenaan antara lain menamakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Ghani sebagai calon Presiden UMNO diikuti Khairy Jamaluddin sebagai Timbalan Presiden.

Ahmad Zahid ketika bertemu media selepas merasmikan Pavilion KKDW di WTC Kuala Lumpur hari ini. - NSTP/ Hazreen Mohamad
Ahmad Zahid ketika bertemu media selepas merasmikan Pavilion KKDW di WTC Kuala Lumpur hari ini. - NSTP/ Hazreen Mohamad
Berita Harian X