Khamis, 12 Januari 2023 | 2:04pm

Siapa nak bertanding, beritahu awal jangan sorok

KUALA LUMPUR: Mana-mana pemimpin yang mahu bertanding pada pemilihan UMNO seharusnya segera mengumumkan hasrat mereka secara terbuka dan bukan berbuat demikian pada saat akhir.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata walaupun tiada sebarang keputusan setakat ini, tiada halangan untuk mana-mana pemimpin bertanding pada pemilihan berkenaan khususnya membabitkan jawatan tertinggi parti.

"Ada juga naratif di bawah kononnya kita menghalang (pertandingan dua jawatan tertinggi parti). Kita tak halang. Parti-parti lain sebelum ini tak pertandingkan dua jawatan terbabit sebaliknya UMNO pada 2018 mempertandingkan dua jawatan berkenaan.

"Jadi saya nak mencadangkan supaya sesiapa yang mahu bertanding lima jawatan tertinggi ini (Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden), umumkan awal, buat apa sorok, kalau kita cakap belakang, tidak elok, umumlah awal-awal," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Timbalan Ketua UMNO bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin sebelum ini disebut-sebut mahu mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hari ini, Khairy pula berkata Ahmad Zahid seorang 'pejuang' dan tidak akan sesekali gentar untuk menghadapi saingan sekiranya kedudukan sebagai presiden dicabar dalam pemilihan parti.

Mengulas lanjut, Isham berkata, tindakan 140 ketua bahagian yang mencadangkan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dilihat sebagai insiatif mereka yang tidak mahu melihat perkara tidak diingini berlaku pada pemilihan parti kelak.

"Saya melihat ini sebagai inisiatif yang dibawa ketua-ketua bahagian sebab mungkin mereka tak mahu pada masa kritikal ini, akan menghuru-harakan UMNO.

"Ini masa kritikal sebab kita baru sertai Kerajaan Perpaduan dan kerajaan ini masih rapuh," katanya.

Ditanya mengenai laporan berhubung pendedahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Isham sekadar menjawab ia adalah taklimat tertutup.

Berhubung gesaan pelbagai pihak supaya menyingkirkan pengkhianat daripada parti, beliau menjelaskan sebarang tindakan perlu melalui proses yang ditetapkan.

"Sesiapa ada masalah disiplin...pertama kita akan siasat sebab jika kita nak singkir sesiapa, kita tak main pecat begitu sahaja, ada jawatankuasa disiplin.

"Proses itu penting.. kalau betul ada masalah disiplin, sabotaj parti, mereka akan melalui proses itu," katanya.

Berita Harian X