Khamis, 12 Januari 2023 | 1:15pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Golongan kurang berkemampuan berpeluang dapat perlindungan PERKESO

KUALA LUMPUR: Individu bekerja sendiri termasuk usahawan, golongan asnaf dan rentan di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kini berpeluang untuk mendapat manfaat perlindungan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata ia susulan daripada kerjasama yang terjalin bersama YaPEIM menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluaskan jaringan perlindungan keselamatan sosial dan pembudayaan amalan berinfaq.

Katanya, seluruh kakitangan PERKESO digalakkan terbabit dalam budaya infaq melalui sumbangan sedekah jariah melalui potongan gaji manakala kadar sumbangan balas YaPEIM adalah sehingga 50 peratus daripada sumbangan baharu yang diterima dari pihak PERKESO menerusi Skim Infaq Gaji YaPEIM.

"Kerjasama yang akan terjalin selama lima tahun ini bakal memberi banyak manfaat kepada kedua-dua belah pihak serta membantu masyarakat yang memerlukan.

"YaPEIM juga bersetuju menaja caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO membabitkan asnaf dan usahawan YaPEIM yang belum mempunyai caruman PERKESO.

"Fasa pertama akan membabitkan seramai 1,000 orang dengan tajaan caruman RM46.60 untuk setiap asnaf dan membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM46,600," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sejak tahun 1985 sehingga Disember 2022, lebih RM800 juta daripada dana Tabung Amanah YaPEIM diagihkan kepada kira-kira 8.3 juta penerima manfaat di seluruh negara.

Jumlah ini merangkumi mereka yang berstatus fakir miskin, asnaf, keluarga B40, usahawan, keluarga miskin, anak

yatim dan kumpulan sasar yang dikenal pasti.

Mohammed Azman berkata, kerjasama itu juga dilihat dapat meningkatkan kebolehpasaran golongan sasaran menerusi aktiviti Program Return to Work (RTW), Program RTWPrenuer dan perkhidmatan pekerjaan PERKESO, di samping memperkasakan sumber dana untuk pelaksanaan program-program ekonomi dan amal jariah YaPEIM.

"Kerjasama ini juga akan membabitkan Program Social Synergy PERKESO yang bertujuan menangani permasalahan kemiskinan, keciciran dan ketidaksepaduan manfaat keselamatan sosial.

"Melalui Program RTW PERKESO yang dilancarkan pada tahun 2007, ia berjaya membantu 79,054 individu hilang upaya akibat kemalangan atau penyakit untuk memperoleh pekerjaan semula, manakala program RTWPrenuer sudah melahirkan 2,660 orang usahawan dari kalangan pekerja yang mengalami hilang upaya.

"Diharap jalinan kerjasama antara PERKESO dan YaPEIM ini akan memainkan peranan dalam pembangunan kemahiran dan kepakaran dalam perlindungan sosial bagi membantu masyarakat secara inklusif," katanya.

Berita Harian X