KUALA LUMPUR: Tindakan UMNO bertanding bersama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menggunakan logo Barisan Nasional (BN), membuktikan kerjasama sedia ada ingin diperluaskan dalam suasana harmoni.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata BN terutama UMNO perlu terus bekerja keras meyakinkan akar umbi untuk terus mengundi parti itu pada enam PRN kelak.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, katanya, BN terutama UMNO, menerima kesan besar apabila sokongan terhadap parti itu merosot.
"PRN akan datang adalah masa untuk BN memulih dan mendapatkan kembali sokongan, maka sewajarnya pemimpin menampilkan prestasi luar biasa dalam Kerajaan Perpaduan untuk memenangi hati rakyat.
"Keputusan PRU15 adalah tamparan hebat terhadap BN kerana sokongan pengundi muda menjurus ke arah Perikatan Nasional (PN) dan pastinya ada sebab mengapa ia berlaku.
"Kerajaan Perpaduan perlu melihat aliran ini dan mengkaji puncanya," katanya kepada BH, hari ini.
Beliau diminta mengulas bayangan diberi UMNO untuk bertanding bersama PH dalam enam PRN akan datang, namun kekal menggunakan logo BN.
Perkara itu antara disentuh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui Taklimat Presiden UMNO di hadapan lebih 3,000 perwakilan parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Rusdi berkata, sekarang adalah masa terbaik bagi BN menerangkan kepada akar umbi mengapa parti itu bersama Kerajaan Perpaduan.
"Momentum pengundi pada PRU15 tidak boleh disamakan dengan PRN akan datang dan semuanya bergantung kepada sejauh mana keupayaan Kerajaan Persekutuan dan negeri menggerakkan pemimpin untuk membuat penerangan kepada pengundi," katanya.
Beliau berkata, UMNO tidak boleh lagi bersenang-lenang, sebaliknya harus giat membuat penjelasan mendalam berhubung rasional gabungan antara BN dengan PH.
"Saya yakin orang Melayu boleh menerima jika ada kebaikan dan kerjasama baik, dengan syarat buktikan dasar dan tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya.