KUALA LUMPUR: Seramai 140 ketua UMNO bahagian menyokong agar dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada pemilihan yang akan diadakan sebelum 19 Mei depan.
Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah, berkata ia sebagai persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus memerlukan solidariti semua pihak bagi menyokong kepemimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Semua 140 ketua bahagian ini sebulat suara menyokong dua jawatan utama UMNO tidak perlu dipertandingkan, selain berharap Ahmad Zahid dapat menerima pandangan kami ini," katanya yang juga Ketua UMNO Wangsa Maju pada sidang media, di sini sebentar tadi.
Terdahulu 126 daripada 140 ketua bahagian itu mengadakan pertemuan tertutup bagi membincangkan perihal berkenaan sempena Perhimpunan Agung UMNO2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Yang turut hadir, Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
UMNO mempunyai 191 bahagian di seluruh negara yang perlu mengadakan pemilihan di semua peringkat bermula dari cawangan hingga Majlis Kerja Tertinggi (MKT), termasuk sayap sebelum 19 Mei depan iaitu sebelum tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan 19 November lalu.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media siang tadi, berkata PAU2022 tidak akan memutuskan tarikh bagi pemilihan parti yang mesti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU15.
Katanya lagi, tarikh bagi tujuan itu akan ditentukan beberapa minggu lagi memandangkan UMNO masih mempunyai masa untuk mengadakan pemilihan sebelum 19 Mei depan.