Rabu, 11 Januari 2023 | 10:25pm

'UMNO harus benarkan perubahan generasi, tak jadikan senioriti, usia aset pemimpin'

KUALA LUMPUR: UMNO perlu menanamkan iltizam untuk membangunkan wibawanya sebagai parti dalam kerajaan yang kompeten, berprestasi dan disegani.

Justeru, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata UMNO perlu berperanan dalam kerajaan dengan memperjuangkan dasar yang lebih baik, idea lebih bernas, amalan lebih telus dan pemikiran lebih besar serta pragmatik.

"Walaupun UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan, parti ini akan menjadi wadah semak dan imbang yang tegas dan benar-benar efektif.

"UMNO akan memberikan alternatif yang lebih baik, bukannya sekadar menabur harapan, yang kemudiannya dimungkiri sesedap rasa," katanya merasmikan serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, malam ini..

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata UMNO perlu menjadi parti politik yang sedang belajar menyerap keunggulan intelektual dan kecerdasan dari semua pendukungnya, baik ahli parti mahupun dari orang Melayu dan bukan Melayu yang bersedia untuk menyumbang kepada tanah air.

"Perjuangan politik kurun ke-21 adalah tentang percaturan dasar terbaik, program paling memanfaatkan, kepimpinan paling kompeten dan institusi paling moden dan termaju.

"Gerakan UMNO pasca PRU15 akan berorientasikan data, kajian, ilmu baharu dan pendekatan termaju," katanya.

Beliau menegaskan, apa yang lebih penting dalam menjadikan idea sebagai modal politik, UMNO harus membenarkan berlakunya perubahan generasi yang sangat diperlukan parti.

"Kita tidak akan menjadikan senioriti atau usia sebagai aset mana-mana pemimpin UMNO. Kita akan membenarkan parti ini untuk benar-benar digerakkan secara bermakna oleh generasi semasa, generasi yang lebih mengerti akan tuntutan dan keperluan terkini." katanya.

Beliau juga menyatakan Agenda Melayu perlu disemak semula demi kemajuan bangsa dan tanah air.

"Tumpuan saya ialah untuk menjadikan UMNO sebagai suara sebenar kepada orang Melayu dan seluruh warga tanah air ini. Memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu tidak akan dilakukan dengan meminggirkan bangsa lain dalam apa jua cara.

"Sudah tiba masanya agenda Melayu UMNO disemak. Ia mesti direkayasa, diberikan lonjakan baharu, dan ditambah nilai," katanya.

Mohamad berucap ketika merasmikan Persidangan Sayap (Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohamad berucap ketika merasmikan Persidangan Sayap (Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Berita Harian X