Rabu, 11 Januari 2023 | 6:50pm
Pilihan terbaik bagi perokok untuk berhenti merokok sepenuhnya atau bagi yang tidak merokok, usah cuba-cuba merokok. - Foto hiasan
Pilihan terbaik bagi perokok untuk berhenti merokok sepenuhnya atau bagi yang tidak merokok, usah cuba-cuba merokok. - Foto hiasan

Perokok wajar diberi maklumat tepat bantu tukar tabiat merokok

- Antara usaha dilakukan penggiat industri tembakau ialah melakukan transformasi bagi mengurangkan kadar kemudaratan kepada perokok seperti memperkenal seperti rokok elektronik bagi menggantikan rokok tradisional

- Pilihan terbaik bagi perokok untuk berhenti merokok sepenuhnya atau bagi yang tidak merokok, usah cuba-cuba merokok

Dianggarkan terdapat 1.1 bilion perokok di seluruh dunia dan pelbagai pihak, termasuk agensi penguat kuasa undang-undang berkaitan kesihatan, badan bukan kerajaan (NGO) di setiap negara sedang berusaha melakukan pelbagai kempen bagi mengurangkan bilangan perokok terutama yang tegar, sekali gus menjadikan dunia ini bebas rokok.

Pepatah 'If you don't smoke - don't start, if you smoke - quit, if you don't quit - change' (Jika anda tidak merokok - jangan mula, jika anda merokok - berhenti dan jika anda tidak berhenti - tukar) mesej jelas menunjukkan usaha masyarakat dunia bagi mengawal dan mengurangkan bilangan perokok, terutama rokok tradisional yang sering dikaitkan dengan punca pelbagai penyakit.

Antara usaha dilakukan penggiat industri tembakau ialah melakukan transformasi bagi mengurangkan kadar kemudaratan kepada perokok seperti memperkenal seperti rokok elektronik bagi menggantikan rokok tradisional.

Ini termasuk membolehkan perokok beralih daripada rokok tradisional yang menghasilkan sisa karbon atau tar dan melepaskan karbon monoksida, dua toksin paling berbahaya dihasilkan dan dibebaskan ketika merokok kepada produk tidak menggunakan proses pembakaran.

Menurut definisi Kementerian Kesihatan (KKM), rokok elektronik ialah peranti elektronik mengandungi nikotin, manakala peranti dengan fungsi sama namun tidak mengandungi nikotin dipanggil vape.

Selain itu, rokok elektronik terbaharu juga dikenali sebagai 'e-Cigs', 'mods', 'e-Hookahs' dan pod. Rokok elektronik tidak menggunakan tembakau sebagai sumber penghasilan asap tetapi cecair kimia berperisa dan kebanyakannya mengandungi nikotin.

Rokok elektronik wujud dalam pelbagai bentuk, warna, saiz dan juga dihasilkan daripada bahan berbeza. Kebanyakan perokok bertukar menghisap rokok elektronik atau vape dengan alasan ingin berhenti merokok, disebabkan rokok elektronik dikatakan mengandungi kadar nikotin sedikit. Kebanyakan perokok turut menganggap peranti itu jalan keluar untuk membebaskan diri mereka daripada belenggu rokok tradisional.

Naib Presiden Hubungan Pembabitan Saintifik Global, Philip Morris International, Gizelle Baker
Naib Presiden Hubungan Pembabitan Saintifik Global, Philip Morris International, Gizelle Baker

Naib Presiden Hubungan Pembabitan Saintifik Global, Philip Morris International (PMI), Gizelle Baker, berkata pelbagai kajian saintifik dilakukan berkaitan produk kurang memberi mudarat kepada perokok dengan harapan mereka dapat bertukar daripada menghisap rokok tradisional.

Beliau berkata, produk sedemikian menyediakan alternatif lebih rendah risiko kepada perokok berdasarkan data sains serta kajian dan penyelidikan (R&D) bagi memenuhi keperluan kumpulan itu, sekali gus membantu mereka bertukar kepada produk yang kurang mudarat.

"Sebagai pihak terbabit industri berkaitan tembakau, kami turut mengambil tanggungjawab besar dan mempunyai komitmen untuk membantu perokok, terutama yang tegar supaya menukar gaya hidup dengan beralih kepada produk kurang mudarat dan rendah risiko, demi kesihatan diri.

"Ini dilakukan menerusi data R&D kami dan dapatan maklumat daripada kajian penyelidikan pakar dan badan bebas bagi menghasilkan produk dapat memenuhi keperluan perokok, seterusnya mereka tidak lagi menghisap rokok tradisional.

"Masyarakat juga perlu didedahkan dengan data sains dan dapatan R&D berkaitan produk kurang mudarat seperti rokok elektronik dan vape kepada perokok kerana banyak kajian menunjukkan ia lebih selamat berbanding rokok kerana produk baharu ini tidak bergantung kepada prinsip pembakaran dan tidak menghasilkan asap.

"Berdasarkan prinsip dipanaskan dan bukan dibakar (heat-not-burn), peranti tembakau dipanaskan ini cuma memanaskan tembakau untuk membebaskan nikotin dalam bentuk wap. Ini satu alternatif boleh digunakan menyingkirkan pembakaran rokok.

"Walaupun ia tidak bebas daripada risiko, produk alternatif ini dikatakan pilihan lebih baik daripada terus merokok," katanya ketika ditemui di London, baru-baru ini.

Baker juga berkata, wajar agensi penguatkuasaan undang-undang dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan perlu memperbanyak kempen kesedaran dan nasihat mengenai produk kurang mudarat kepada perokok berdasarkan fakta dan kajian R&D supaya mereka dapat maklumat tepat.

"Kempen dan penyebaran maklumat tepat berdasarkan data sains dan R&D secara menyeluruh kepada kumpulan sasaran penting bagi meningkatkan kesedaran perokok supaya mereka menyedari mengapa perlu bertukar kepada produk kurang mudarat," katanya.

Ketua Hubungan Saintifik PMI, Ignacio Gonzalez Suarez
Ketua Hubungan Saintifik PMI, Ignacio Gonzalez Suarez

Ketua Hubungan Saintifik PMI, Ignacio Gonzalez Suarez pula berkata, setiap negara mempunyai cara berbeza bagi menguruskan penguatkuasaan kawalan tembakau dan rokok elektronik dengan sasaran untuk mengubah trajektori kelaziman merokok.

Katanya, PMI sebagai contoh melakukan R&D secara intensif bagi menghasilkan inovasi produk kurang mudarat sebagai alternatif kepada perokok supaya mereka beralih kepada produk kurang memberi risiko kepada kesihatan mereka, selain menjaga kelestarian alam sekitar.

Jelas beliau, kajian dilakukan pihaknya mendapati semakin banyak negara mula mengiktiraf dan mengakui kelebihan produk alternatif kurang mudarat untuk perokok seperti Amerika Syarikat (AS), England, Greece, New Zealand, Uruguay dan Jepun.

Agensi kesihatan seperti Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) AS, katanya, mengiktiraf potensi inovasi kepada produk kurang mudarat, manakala Kementerian Kesihatan New Zealand menjelaskan produk rokok elektronik dan vape tidak dibakar untuk mengeluarkan asap kurang mudarat daripada rokok.

"Berkaitan penguatkuasaan undang-undang, banyak negara mula mengambil langkah meminda atau mengasingkan peraturan kawalan tembakau dengan produk berkaitan kurang mudarat," katanya ketika ditemui di Pusat R&D PMI di Switzerland, baru-baru ini.

Berdasarkan penjelasan ini, lebih banyak R&D dan kempen kesedaran perlu digerakkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan keberkesanan produk kurang mudarat seperti rokok elektronik untuk membantu perokok berhenti merokok atau menyediakan alternatif kurang berisiko, berbanding rokok tradisional.

Walaupun tidak bebas daripada risiko, produk alternatif ini dikatakan pilihan lebih baik daripada terus merokok. Namun begitu, pilihan terbaik bagi perokok untuk berhenti merokok sepenuhnya atau bagi yang tidak merokok, janganlah mula merokok.

Berita Harian X