Rabu, 11 Januari 2023 | 2:08pm

PAU2022 tumpu kaji prestasi buruk UMNO pada PRU15, persiapan hadapi PRN

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) tidak akan memutuskan tarikh bagi pemilihan parti yang mesti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata tarikh bagi tujuan itu akan ditentukan beberapa minggu lagi memandangkan UMNO masih mempunyai masa untuk mengadakan pemilihan sebelum 19 Mei depan.

"Pemilihan parti di semua peringkat ini bermula dari cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) termasuk sayap hendaklah diadakan sebelum 19 Mei depan. Pada 19 November lalu, kita mengundi (PRU ke-15), dalam tempoh enam bulan (selepas) itulah (pemilihan parti mesti diadakan).

"Segala hal pemilihan parti hendaklah diselesaikan sebelum 19 Mei 2023. Pengumuman tarikh tidak dibuat semasa perhimpunan ini, ada tempoh beberapa minggu lagi untuk kita buat keputusan," katanya pada sidang media di Laman Media PAU 2022, di sini hari ini.

Ahmad berkata, selain pemilihan parti, PAU2022 akan memberi tumpuan kepada tiga lagi perkara, iaitu menetapkan hala tuju parti selepas PRU15, selain persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Apa persiapan kita menghadapi PRN nanti, ini satu lagi perkara saya kira akan dibahaskan bermula esok oleh sayap Wanita, Pemuda dan Puteri. Jumaat dan Sabtu akan ada senarai pembahas dari semua negeri dan sayap, akan menyentuh bagaimana kita mahu menang pilihan raya enam negeri ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata, UMNO akan melihat semula pencapaian teruk parti pada PRU15 hingga gagal memperoleh jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan.

"Apa yang kita boleh belajar dari PRU15. Walaupun kita menang tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK), menang 21 kerusi (Dewan Undangan Negeri) dari 28 kerusi di Melaka atau 40 kerusi DUN dari 56 kerusi di Johor.

"Kemenangan di tujuh PRK dan dua PRN itu, presidennya adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kenapa masa PRU, kita tidak dapat ulangi kejayaan di dua PRN dan tujuh PRK itu?. Sudah tentu ada perkara luar biasa yang berlaku menyebabkan kami tewas.

"Saya mahu mendengar pandangan dan mengapa wujud keluarbiasaan itu. Apa sebab, puncanya yang kami boleh perbaiki pada masa depan," katanya.

PAU 2022 membuka tirai malam ini dengan perasmian persidangan Pemuda, Puteri dan Wanita di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur serta PAU 2022 bermula Jumaat hingga Sabtu.

Terdahulu jam 2.30 petang ini, satu sesi taklimat khas presiden akan diadakan di Dewan Merdeka yang dijangka dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan UMNO dari seluruh negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media selepas majlis pelancaran Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2022 di WTC, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media selepas majlis pelancaran Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2022 di WTC, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Berita Harian X