Selasa, 10 Januari 2023 | 8:01pm
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. - Foto BERNAMA
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. - Foto BERNAMA

Kabinet baharu Sabah angkat sumpah esok?

KOTA KINABALU: Majlis angkat sumpah Kabinet baharu Sabah dijangka esok susulan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai rombakan Kabinet negeri sebelum ini.

Difahamkan upacara yang diadakan di Dewan Kunjungan, Istana Seri Kinabalu itu dijadual berlangsung pada jam 10 pagi.

Sebelum ini, media difahamkan upacara angkat sumpah jawatan anggota Kabinet baharu diadakan semalam, namun upacara berkenaan dipercayai ditangguhkan berikutan kemelut politik yang belum selesai.

Malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi restu kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri selepas perbincangan dengan semua pemimpin Sabah berhubung kemelut yang berlaku.

Rentetan daripada itu, difahamkan tidak timbul lagi keraguan untuk Hajiji terus kekal sebagai Ketua Menteri dan memilih anggota baharu Kabinetnya.

Difahamkan juga, majlis angkat sumpah esok membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah yang dibawa masuk berikutan sokongan tujuh ADUN PH kepada Hajiji.

Mereka dijangka mengisi jawatan menteri yang kosong berikutan tindakan Barisan Nasional (BN) / UMNO Sabah menarik sokongan kepada kerajaan negeri pada minggu lalu.

Tiga portfolio utama termasuk jawatan Timbalan Ketua Menteri yang sebelum ini dipegang Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kosong berikutan tindakan yang diketuainya itu.

Portfolio terbabit ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang sebelum ini dipegang Timbalan Ketua UMNO Sabah yang juga ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin (Sukau) dan Menteri Kerja Raya yang sebelum ini turut disandang Bung Moktar.

ADUN BN/UMNO yang menyokong tindakan parti itu sebelum ini turut memegang beberapa portfolio pembantu menteri, antaranya ialah Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Harun Durabi; Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Andi Muhamad Suryady Bandy dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Hamsan Awang Supain.

Bagaimanapun, difahamkan, angkat sumpah esok hanya membabitkan portfolio menteri, manakala portfolio pembantu menteri dikatakan tidak berubah setakat ini.

Difahamkan juga ADUN UMNO yang tidak menentang keputusan parti itu kekal memegang jawatan, iaitu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya; Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Jasnih Daya dan Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk James Ratib.

Sekurang-kurangnya tiga daripada tujuh ADUN PH Sabah dijangka dibawa masuk ke dalam Kabinet negeri termasuk kemungkinan seorang ADUN DAP bakal dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri bagi mengisi kekosongan kuota jawatan untuk mewakili masyarakat Cina atau bukan Bumiputera.

Ketika ini, DAP mempunyai empat ADUN iaitu Datuk Frankie Poon (Tanjung Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Tan Lee Fatt (Likas) dan Jannie Lasimbang (Kapayan).Di samping itu, Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew turut dijangka diberikan portfolio dalam Kabinet negeri mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Christina pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri ketika pentadbiran kerajaan Parti Warisan (WARISAN) sebelum ini.

Hanya Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai komponen PH Sabah yang tiada wakil dalam Kabinet baharu itu memandangkan parti berkenaan hanya ada seorang ADUN iaitu Datuk Ewon Benedick (Kadamaian).

Ia berikutan Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang sudah memegang portfolio Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam Kerajaan Perpaduan persekutuan.

Berita Harian X