Selasa, 10 Januari 2023 | 10:14am
Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika sidang media di Ibu Pejabat Parti Warisan di Kolombong kelmarin.
Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika sidang media di Ibu Pejabat Parti Warisan di Kolombong kelmarin.

Shafie kata Anwar cadang bentuk kerajaan perpaduan di Sabah

KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) menyokong cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembentukan kerajaan perpaduan untuk mentadbir Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perkara itu diputuskan selepas perjumpaan dengan Anwar malam tadi.

"Selepas perjumpaan dengan Perdana Menteri (malam tadi), saya dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) WARISAN menyokong saranan beliau bagi pembentukan sebuah kerajaan perpaduan untuk mentadbir negeri Sabah," katanya.

Perdana Menteri singgah di Sabah selepas lawatan rasmi ke Indonesia, malam tadi, bagi bertemu pemimpin Sabah berhubung usaha menyelesaikan kemelut politik Sabah yang tercetus sejak beberapa hari lalu.

Terdahulu, sokongan sama turut disuarakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang yakin pembentukan kerajaan perpaduan mampu meredakan suhu politik dan seterusnya menstabilkan politik di Sabah ketika ini.

Beliau berharap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima dengan hati yang terbuka cadangan Perdana Menteri itu demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga ADUN Senalang, berkata beliau bersama semua ADUN WARISAN juga menyokong penuh pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan RUU Bekalan Gas 2023 yang akan dibentang pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-16, bermula jam 10 pagi ini.

Katanya, perkara itu selaras dengan perjuangan WARISAN untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan sepenuhnya.

"Saya yakin kedua-dua RUU ini akan mendapat kelulusan kerana hanya memerlukan majoriti mudah," katanya.

Beliau bagaimanapun, berkata ADUN WARISAN tidak dapat hadir pada persidangan khas itu.

"Ketidakhadiran kami pada sidang khas DUN hari ini adalah atas sebab perlunya untuk penubuhan secepat mungkin sebuah Jawatankuasa Khas bagi menentukan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah seperti yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri," katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Bung Moktar turut menyatakan sebahagian besar ADUN UMNO Sabah tidak dapat hadir kerana ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

Berita Harian X