KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan bersidang hari ini bagi membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada negeri ini.
Persidangan khas yang bermula jam 10 pagi itu turut membentangkan RUU berkaitan penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah yang akan menyelia penggunaan sumber tenaga termasuk gas di Sabah.
RUU itu perlu dibentang dan diluluskan DUN Sabah sebelum dikuatkuasakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan penyerahan kuasa kawal selia gas Sabah menerusi rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Persidangan khas DUN itu juga diadakan selepas penyerahan kuasa kawal selia gas kepada Sabah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Malam tadi, Anwar menekankan keutamaan perlu diberikan kepada kelulusan RUU atau enakmen itu yang disifatkannya sebagai sangat penting untuk Sabah.
"Besok (hari ini), satu RUU penting untuk mengembalikan hak Sabah melalui pembentangan menteri Kabinet (persidangan DUN).
"Ini satu perubahan yang besar. Bagi saya ini adalah keutamaan, beri peluang kepada Ketua Menteri untuk bincang dan mencari satu formula terbaik untuk kebaikan Sabah," katanya.
Anwar singgah di Sabah selepas balik dari lawatan kerja dua hari ke Indonesia malam tadi bagi bertemu pemimpin Sabah, termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi membincangkan penyelesaian kemelut politik Sabah.
Perbincangan tertutup selama kira-kira sejam yang diadakan di Magellan Sutera, di sini, malam tadi turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Penyerahan kawal selia bekalan gas kepada Sabah membolehkan kerajaan negeri mengambil alih kuasa pentadbiran untuk mengurus sumber gas dan tenaga Sabah yang sebelum ini terletak di tangan Suruhanjaya Tenaga (ST) persekutuan dan PETRONAS.
Sementara itu, persidangan khas DUN hari ini dijangka menyaksikan perubahan tempat duduk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN berikutan keputusan BN dan UMNO Sabah baru-baru ini menarik sokongan kepada kerajaan dan Ketua Menteri.
Selain itu, kedudukan tempat duduk ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah pula dijangka berada sebaris dengan tempat duduk ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan parti yang membentuk kerajaan negeri.
Ia sejajar sokongan diberikan tujuh ADUN PH Sabah terhadap kepemimpinan Hajiji.
Ketika ini DUN Sabah mempunyai 79 kerusi termasuk enam kerusi ADUN Dilantik, namun dijangka kehadiran ADUN pada persidangan khas itu tidak mencapai 100 peratus.
Ia berikutan kenyataan Bung Moktar pagi ini mengenai sebahagian ADUN UMNO BN yang tidak dapat hadir kerana berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.