KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pihaknya sudah memberikan pandangan mengenai kemelut politik di negeri ini, pada pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.
Beliau berkata, pandangan itu akan dibincangkan Perdana Menteri pada perjumpaan dengan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, selepas ini pula.
"Kita membincangkan isu Sabah dan telah menyerahkan pandangan kita (kepada Anwar) untuk dibincang dengan Pengerusi GRS.
"Jadi, kita tunggulah hasilnya nanti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup selama kira-kira sejam dengan Anwar di Magellan Sutera, di sini.
Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah memaklumkan setakat ini, belum ada keputusan berhubung kemelut politik berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sentiasa positif dalam usaha memastikan kemakmuran rakyat Sabah.
"Keputusannya hanya Perdana Menteri yang tahu setelah berunding dengan Pengerusi GRS nanti, kerana beliau (Anwar) adalah 'negotiator' (perunding)," katanya.
Ditanya mengenai Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini, Bung Moktar berkata, pihaknya belum memutuskan sama ada akan turut hadir atau sebaliknya.
Terdahulu, Anwar ketika ditemui selepas perjumpaan itu menjelaskan, keputusan berhubung kemelut politik di negeri ini berada dalam tangan pemimpin Sabah sendiri.
Perdana Menteri berkata, beliau hanya mampu memberi nasihat dalam usaha mengatasi isu berkenaan, namun menyifatkan keadaan kini sudah semakin baik.
Katanya, beliau dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencari formula yang baik untuk jalan penyelesaiannya.