KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba di bangunan UMNO Sabah pada jam 8.22 malam ini.
Ketibaan Ahmad Zahid, yang diiringi Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, disambut beberapa pemimpin tertinggi BN negeri ini.
Dipercayai satu pertemuan bakal diadakan bersama barisan pimpinan tertinggi BN negeri itu malam ini bagi membincangkan isu berhubung kemelut politik yang melanda di Sabah, baru-baru ini.
Politik Sabah ketika ini bergolak selepas Bung Moktar Radin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, menarik balik sokongan kepada pentadbiran pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Jumaat lalu, Bung Moktar mengumumkan pihaknya menamatkan kerjasama membentuk kerajaan negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila lima
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN mengecam tindakan Bung Moktar, sekali gus mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.
Bung Moktar semalam juga dilaporkan berkata, keputusan berhubung kemelut politik itu dijangka dicapai, malam ini.
Beliau turut memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan bertemu semua pemimpin parti politik di negeri itu, hari ini.
"Kita menunggu Perdana Menteri yang akan datang, esok (hari ini). Beliau akan berjumpa kita, Parti Warisan (WARISAN) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS)... barulah kita akan bercakap mengenai itu.
"Keputusan akan dibuat pada malam esok (hari ini)," katanya.